PJD Link mungkin sebabkan pengundi tidak puas hati, kata pemegang taruh


Noel Achariam

Projek lebuhraya PJD Link pernah mendapat bantahan daripada penduduk setempat sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2023.

CADANGAN mengenai pembinaan lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) tidak akan menjejaskan peluang Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri akan datang, kata ahli Parlimen dan pemerhati.

Bagaimanapun mereka mengakui isu itu boleh mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengundi terutama mereka dari kawasan terjejas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku, Lim Yi Wei berkata, pasti ada tahap ketidakpuasan hati pengundi terhadap status PJD Link.

“Namun kini segala-galanya berada dalam keadaan tidak menentu (status projek), jadi penduduk yang menentangnya mahu melihat isu itu ditutup.

“Adalah cuai jika kita mengatakan pengundi tidak akan terjejas,” kata Lim.

Beliau bagaimanapun berkata adalah sukar untuk mengetahui jika terdapat penolakan besar daripada pengundi.

“Tarikh pembubaran (DUN) mungkin minggu depan. Ia satu tempoh yang singkat. Jadi jika kerajaan negeri tidak mengumumkan apa-apa (mengenai PJD Link), mungkin tidak ada tindak balas ketara daripada pengundi.

“Kami harap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan bantahan penduduk dan kesan pembinaannya kerana Petaling Jaya adalah kawasan matang.

“Sebarang bentuk pembinaan akan memberi kesan negatif kepada keseluruhan aliran trafik.”

Adun Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata, pengundi pastinya mempunyai pendapat tersendiri berhubung isu PJD Link.

Adun Kampung Tunku, Lim Yi Wei berkata pasti ada tahap ketidakpuasan hati pengundi terhadap status PJD Link. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2023.

“Sejauh mana ia akan menjejaskan pendapat pengundi, kita tidak tahu.

“Terdapat banyak isu dan ini salah satu isu yang akan diperkatakan oleh pengundi.”

Beliau berkata terdapat pelbagai isu yang akan memberi kesan kepada pengundi.

“Kami sedar mengenai isu PJD Link,” katanya.

Pada Khamis, Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran berkata kerajaan negeri tidak meluluskan projek itu walaupun pemajunya mengumumkan mereka mengumpul dana sebanyak RM922 juta.

Rajiv berkata pemaju tidak menyatakan apa-apa mengenai kelulusan daripada kerajaan negeri.

“Tidak kira sama ada mereka mendapat wang (untuk pembiayaan) atau mereka mempunyai kontraktor. Kelulusan kami tetap hak prerogatif kami.

“Ia tidak bermakna kita (kerajaan negeri) wajib meluluskan (projek) itu,” katanya.

Rajiv sudah berkhidmat selama dua penggal sebagai Adun di kawasan itu.

PJD Link yang dicadangkan adalah lebuh raya berkembar dua lorong sepanjang 25.4 kilometer yang bermula selepas plaza tol Lebuhraya Lembah Klang Utara (NKVE) di Lebuhraya Sprint. Ia berakhir di persimpangan Bukit Jalil. – 11 Jun, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen