Ahli politik tak patut guna data curi untuk kempen, kata penganalisis


Noel Achariam

Penganalisis Politik Universiti Malaysia Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata walaupun benar CA memainkan peranan yang kecil dalam Pilihan Raya Umum 2013 di Kedah, tindakan menggunakan maklumat peribadi pengguna media sosial bagi tujuan berkempen tetap dilihat sebagai suatu yang tidak beretika. – Gambar The Malaysian Insight, 23 Mac, 2018.

AHLI politik sering meminta bantuan jururunding bagi mendapatkan nasihat berhubung pilihan raya atau untuk mengendalikan kempen mereka, namun di sebalik pendedahan kontroversi membabitkan Cambridge Analytica (CA) dan Facebook, menurut penganalisis, harus ada batas yang jelas tentang penggunaan maklumat peribadi pengundi. 

Penganalisis Politik Universiti Malaysia Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata walaupun benar CA memainkan peranan yang kecil dalam Pilihan Raya Umum 2013 di Kedah, tindakan menggunakan maklumat peribadi pengguna media sosial bagi tujuan berkempen tetap dilihat sebagai suatu yang tidak beretika. 

“Tidak ada isu jika jururunding melibatkan diri dalam pilihan raya, asalkan mereka tidak memanipulasi data, seperti yang dilakukan mereka sebelum ini (untuk kempen pilihan raya presiden Donald Trump), yang mana jelas tidak beretika. 

“Jika mereka lakukan perkara seumpama ini, jadi tindakan oleh kerajaan dan parti (yang mengupah mereka) adalah tidak boleh dimaafkan kerana telah menyalagunakan data dan profil (pengundi),” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penglibatan CA dalam kempen pilihan raya Barisan Nasional (BN) di Kedah pada 2013, yang menyaksikan gabungan pemerintah itu berjaya merampas kembali negeri tersebut daripada Pakatan Rakyat yang mentadbir selama satu penggal. 

CA, syarikat berpangkalan di Britian, didakwa menggunakan data yang dituai daripada Facebook tanpa kebenaran pada awal 2014 untuk meramal dan mempengaruhi pengundi dengan menghantar mesej kempen bersasaran. Syarikat berkenaan mengendalikan kempen pilihan raya Presiden Donald Trump pada 2016 menggunakan data yang dikumpulkan daripada profil media sosial. 

Mengulas lanjut Awang berkata tidak menghairankan sekiranya BN menggunakan perkhidmatan seumpama itu bagi merampas semula Kedah. 

“Ini termasuk mengupah jururunding asing.”

CA dalam laman sesawangnya menyenaraikan Kedah sebagai salah satu kes di mana syarikat itu menggunakan kempen mesej bersasaran dengan menonjolkan pembaikan sekolah sejak 2008. Ia membawa kemenangan kepada BN yang memenangi 21 daripada 36 kerusi negeri dan 10 daripada 15 kerusi Parlimen. 

Siapa dan parti mana menggunakan perkhidmatan CA masih lagi tidak diketahui, kerana BN dan bekas menteri besar Kedah Mukhriz Mahathir, yang didakwa menerima nasihat daripada CA, kedua-duanya menafikan dakwaan tersebut.  – 23 Mac, 2018.  

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen