Bekas PM UK Boris Johnson letak jawatan ahli Parlimen


Bekas perdana menteri Britain Boris Johnson meletak jawatan sebagai ahli Parlimen disebabkan tuduhan melakukan penipuan mengenai pelanggaran peraturan Covid-19. – Gambar AFP, 10 Jun 2023.

BEKAS perdana menteri Britain Boris Johnson pada Jumaat mengumumkan beliau meletak jawatan sebagai ahli Parlimen disebabkan tuduhan melakukan penipuan di Parlimen mengenai pelanggaran peraturan Covid-19.

Johnson meletak jawatan serta-merta sambil menegaskan bahawa beliau tidak berbohong, Agensi Anadolu memetik kenyataan pemimpin itu.

Keputusan ini diambil selepas beliau menerima laporan daripada Jawatankuasa Keadilan yang diketuai oleh ahli Parlimen untuk menyiasat sama ada beliau menipu mengenai majlis di Downing Street.

Johnson menjelaskan bahawa beliau telah menjadi ahli Parlimen sejak 2001 dan beliau memikul tanggungjawabnya dengan serius.

“Saya telah menerima surat daripada Jawatankuasa Keadilan yang dengan jelas - dan sungguh mengejutkan - menunjukkan bahawa mereka bertekad untuk menggunakan prosiding ini bagi mengusir saya daripada Parlimen,” katanya

Johnson dituduh menipu Parlimen mengenai majlis yang diadakan di Downing Street semasa United Kingdom berada di bawah sekatan pergerakan Covid-19.

Sementara itu, Jawatankuasa Keadilan akan bersidang pada Isnin untuk membuat kesimpulan mengenai siasatan mereka.

Setiausaha Dalam Negeri Priti Patel, yang dikenali sebagai “sekutu utama Johnson,” memberi sokongan bahawa beliau telah berkhidmat untuk negara “dengan cemerlang”.

“Beliau memimpin dunia dalam menyokong Ukraine, mencapai Brexit, dan beliau merupakan perdana menteri yang paling berjaya dalam pilihan raya sejak Margaret Thatcher,” menurut ciapannya di Twitter.

Partygate merupakan gelaran yang diberikan terhadap skandal melibatkan berpuluh-puluh majlis yang diadakan semasa pandemik di Pejabat Perdana Menteri dan jabatan kerajaan yang didedahkan kepada media. – Bernama, 10 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen