SARAWAK tidak akan mengenakan kod pakaian terhadap peserta persembahan, terpakai untuk warga asing dan penduduk tempatan – pada Festival Rainforest World Music (RWMF) tahun ini.
“Tidak ada masalah selagi mereka tidak berbogel atas pentas,” kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Abdul Karim Hamzah pada sidang media selepas majlis apresiasi penaja dan rakan kerjasama RWMF 2023 di Kuching hari ini.
Karim berkata cara penghibur berpakaian terpulang kepada pandangan masing-masing.
“Ada yang mungkin rasa mereka memakai pakaian terlalu terdedah, tetapi bagi kami ia ok selagi mereka tidak berbogel.”
Beliau berkata sepanjang 26 tahun festival muzik itu diadakan, tidak pernah ada isu berkenaan cara pemakaian penghibur.
“Itu bukan isu dan kami tidak ada rancangan untuk jadikan ia satu masalah,” katanya.
Kenyataan itu dilihat sebagai tidak selaras dengan garis panduan dikemas kini Agensi Pusat Permohonan Penggambaran dan Persembahan Artis Asing (Puspal) pada Mac.
Karim berkata festival itu dijangka mendapat sambutan hangat memandangkan ini kali pertama ia kembali secara fizikal sejak sekatan perjalanan akibat pandemik Covid-19 ditarik balik.
Festival muzik tiga hari itu diadakan bermula 23 Jun ini, diterajui dua pemenang anugerah Grammy – Gipsy Kings dari Perancis dan Big Mountain, sebuah kumpulan campuran Jamaica-Amerika. – 9 Jun, 2023.
Komen