MMA persoal lantikan politik Lembaga Pelawat Hospital


Persatuan Perubatan Malaysia menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan kenapa pelantikan ke Lembaga Pelawat Hospital didominasi oleh lantikan menterinya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Jun, 2023.

PERSATUAN Perubatan Malaysia (MMA) mahu pelantikan ke Lembaga Pelawat Hospital bebas daripada lantikan politik bagi memastikan kebebasannya, lapor FreeMalaysiaToday (FMT) hari ini.

Portal berita itu memetik presiden MMA Dr R Muruga Raj menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan kenapa pelantikan ke lembaga ini didominasi oleh lantikan menterinya.

Muruga berkata pada masa ini menteri mempunyai kuasa untuk melantik 75% ahli lembaga pengarah.

“Kami percaya matlamat utama lembaga pelawat adalah untuk meningkatkan perkhidmatan disediakan fasiliti kesihatan kepada masyarakat.

“Oleh itu, ia sepatutnya bebas daripada pelantikan langsung mana-mana menteri supaya dapat memenuhi matlamatnya,” Muruga dipetik berkata.

Menurutnya ahli lembaga pengarah memainkan peranan penting dalam memberikan maklum balas kepada pengurusan dan membawa isu berkaitan penjagaan kesihatan awam yang dihadapi oleh orang ramai.

“Tidak ada semak dan imbang sekiranya majoriti ahli lembaga dilantik oleh kerajaan,” katanya.

Arahan KKM menyatakan menterinya Dr Zaliha Mustafa akan diberi kuasa untuk menamakan 75% ahli lembaga pelawat di 139 hospital awam dengan baki kerusi diduduki oleh ahli bebas.

Ahli Lembaga Pengarah dibayar elaun sebanyak RM100 setiap seorang untuk sehingga enam mesyuarat setiap tahun. 

Mereka kini akan berkhidmat selama tiga tahun, meningkat daripada dua tahun sebelumnya. – 9 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen