Tapak perkhemahan lengang sejak tragedi Batang Kali, kata pengusaha


Noel Achariam

Pengurus Rumah Hutan Terapi Alam, Arif Hisyam berkata mereka memulakan semula operasi lebih sebulan selepas tragedi tanah runtuh Batang Kali. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua zulkefli, 9 Jun, 2023.

PEMINAT aktiviti perkhemahan mula mengunjungi tapak perkhemahan Batang Kali di Selangor selepas tragedi tanah runtuh Father’s Organic Farm yang meragut 31 nyawa pada Disember.

Susulan kejadian itu, pengusaha tapak perkhemahan diarah menghentikan sementara semua aktiviti dan menutup tapak mereka.

Walaupun terletak di kawasan rata dan jauh dari bukit, pemilik tapak berkata orang ramai masih berhati-hati dengan kejadian itu.

Pengurus Rumah Hutan Terapi Alam, Arif Hisyam berkata mereka memulakan semula operasi lebih sebulan selepas tragedi itu.

“Kami perlahan-lahan mula menerima kembali pelanggan dan pelawat lain. Tetapi, mereka sering bertanya sama ada tempat ini selamat.

“Terdapat sekurang-kurangnya 50% penurunan dalam pelanggan yang datang ke sini berbanding sebelum kejadian,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tapak perkhemahan Father’s Organic Farm masih ditutup selepas tragedi tanah runtuh.

Kejadian awal pagi pada 16 Disember lalu meragut 31 nyawa daripada 92 orang yang berada di tapak perkhemahan itu. Seramai 61 yang lain terselamat tanpa cedera atau cedera ringan.

Susulan kejadian itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan pemberhentian semua aktiviti rekreasi luar di sekitar Batang Kali.

Arif berkata pelanggan kini terlebih dahulu bertanya mengenai keselamatan dan pelesenan sebelum datang.

“Kami ada lesen, kami memantau tapak perkhemahan dan sentiasa menekankan keselamatan di sini,” katanya.

Beliau juga berkata pegawai dari Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) melawat tapaknya dua kali sejak tragedi itu.

“Mereka (MPHS) meminta kami memeriksa tapak perkhemahan kerana walaupun kawasan selamat, kami tidak tahu jika ada pergerakan tanah.

“Di sini tiada bukit kerana kami terletak di sebelah sungai,” katanya.

Tapak itu terletak lebih 10km dari kejadian dan kawasan mereka boleh memuatkan kira-kira 50 khemah.

Menurut Jurnal Selangor, garis panduan dan lesen untuk aktiviti perkhemahan dijangka dibentangkan pada mesyuarat exco kerajaan negeri akan datang.

Pada Februari, exco kerajaan tempatan Ng Sze Han berkata pendaftaran tapak perkhemahan akan diwajibkan sebaik sahaja undang-undang kecil itu diluluskan.

Beliau juga berkata terdapat lebih 200 tapak perkhemahan di Selangor. – 9 Jun, 2023.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen