TAPAK perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor terus ditutup selepas tragedi tanah runtuh yang mengorbankan 31 orang pada Disember tahun lepas.
Tiada tanda-tanda aktiviti kelihatan di ladang itu dari atas jalan di mana tanah runtuh - melibatkan kawasan setinggi 300 meter dengan ketinggian 70 meter - berlaku.
Tinjauan The Malaysian Insight mendapati pintu pagar di pintu masuk menuju ke ladang itu, turut dikunci dengan rantai.
Di tapak itu, subkontraktor yang dilantik Jabatan Kerja Raya (JKR) dilihat memantau pergerakan tanah.
Ketika ditanya, mereka berkata pemeriksaan dijalankan setiap minggu untuk bacaan dihantar ke pejabat mereka untuk dikaji.
Kejadian awal pagi pada 16 Disember lalu meragut 31 daripada 92 orang yang berada di tapak perkhemahan itu. 61 yang lain terselamat tanpa cedera atau cedera ringan.
Jalan di tanah runtuh itu juga telah menjadi satu lorong sepanjang kira-kira 100 meter, dan ditutup oleh penghadang jalan plastik.
Bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, jalan menuju ke tapak itu dipantau oleh anggota Rela yang menyediakan pos pemeriksaan 4km dari kawasan itu.
The Malaysian Insight telah menghubungi exco kerajaan tempatan Ng Sze Han untuk maklumat lanjut.
Pada Isnin, Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata laporan tanah runtuh Batang Kali dijangka siap pada hujung bulan ini.
Beliau berkata laporan itu kemudiannya akan dibentangkan kepada kabinet sebelum dimuktamadkan untuk tindakan selanjutnya.
Nanta berkata kementeriannya melalui JKR dengan kerjasama agensi kerajaan sedang menyediakan draf laporan akhir.
“Saya difahamkan ramai pihak termasuk keluarga mangsa ingin mengetahui atau mendapatkan laporan akhir berhubung kejadian itu. JKR sedang melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan proses ini,” katanya.
Keluarga mangsa tanah runtuh Batang Kali menuntut kerajaan mengeluarkan laporan siasatan penuh berhubung tragedi itu.– 9 Jun, 2023.
Komen