Polis tembak mati dua suspek kes samun


POLIS menembak mati dua lelaki yang disyaki cuba memecah masuk sebuah rumah di Taman Supreme, Cheras di Kuala Lumpur awal pagi hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, anggotanya menerima maklumat awam berkaitan pergerakan mencurigakan empat lelaki disyaki warga asing di kawasan berkenaan.

Susulan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Khas Kuala Lumpur yang sedang membuat rondaan diarahkan membuat pemeriksaan di lokasi terbabit dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi.

“Ketika anggota tiba di lokasi, empat penyamun dianggarkan berusia antara 30-an ke 40-an itu cuba menyerang anggota polis menggunakan parang.

“Buat masa ini kita sedang siasat pembabitan mereka. Selepas kita buat siasatan lanjut dan kenal pasti identiti mereka baru kita boleh tahu siapa dia dan kaitkan dengan kes-kes lain.

“Kita dapat maklumat kemungkinan besar mereka ini empat orang… Dua melarikan diri guna sebuah kereta dengan nombor plat palsu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohd Shuhaily berkata, pasukannya menemui beberapa peralatan dipercayai untuk kegiatan pecah rumah termasuk pemotong besi dan parang bersama individu terbabit.

Menurutnya, siasatan awal tidak menjumpai sebarang senjata api pada kedua-dua suspek terbabit.

Katanya, usaha mengesan saki-baki suspek yang dipercayai warga asing itu sedang giat dijalankan. – 8 Jun 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen