Bersatu lantik penyelaras di Negeri Sembilan dan Selangor, persiapan hadapi PRN


Mohd Farhan Darwis

Bersatu lantik pimpinan tertinggi parti itu sebagai penyelaras di Negeri Sembilan dan Selangor sebagai sebahagian persiapan menghadapi PRN akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2023.

BERSATU melantik pimpinan tertinggi parti itu sebagai penyelaras di Negeri Sembilan dan Selangor sebagai sebahagian persiapan untuk parti itu menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu dilantik sebagai penyelaras di Negeri Sembilan menggantikan Eddin Syazlee Shith yang digugurkan sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu Negeri Sembilan,  manakala Naib Presiden Mohd Radzi Jidin pula dilantik sebagai penyelaras di Selangor.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Mohd Rafiq Mohd Abdullah berkata jawatan penyelaras itu adalah khusus kepada dua negeri tersebut memandangkan Bersatu akan menerajui kepimpinan negeri sekiranya PN berjaya menubuhkan kerajaan selepas PRN.

“MPT putuskan untuk lantik penyelaras di dua negeri yang kita sangat beri perhatian khusus, negeri Bersatu, Negeri Sembilan dan Selangor dan kita bersetuju lantik penyelaras,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui baru-baru ini.

“Banyak pandangan dari bawah, berbagai perkara dibangkitkan dan kita fikir lebih baik (Bersatu) pusat hantar wakil.

“Ia bagi menyelaras perkara berlaku dalam negeri oleh wakil daripada pusat berbanding dengar sebelah pihak di bawah. Itu akan menenangkan keadaan untuk hadapi PRN,” katanya.

MPT Bersatu Muhammad Faiz Na’aman turut mengesahkan keputusan menggugurkan Eddin dibuat Majlis Tertinggi PN berikutan faktor kesihatannya.

“Antara sebab beliau digugurkan berikutan ada masalah kesihatan, berkaitan dengan jantung,” kata Faiz kepada The Malaysian Insight.

Tambahnya, tiada sebarang perubahan kepada pimpinan PN dan Bersatu di Selangor, walaupun Radzi dilantik sebagai penyelaras di negeri tersebut.

Anggota MPT Bersatu Mohamed Azmin Ali merupakan pengerusi PN Selangor manakala Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari yang juga pengerusi Bersatu Selangor kekal menyandang jawatan tersebut walaupun dengan kehadiran Radzi sebagai penyelaras.

Makluman mengenai pengguguran Eddin Syazlee daripada jawatan tersebut tular di aplikasi media sosial minggu lepas.

Beliau juga dilapor akur dengan keputusan tersebut.

Faiz berkata jawatan penyelaras adalah sementara bagi menghadapi PRN, penyelaras ini jawatan sementara.

“Bila dah habis PRN tiada penyelaras, jawatan ini untuk hadapi PRN saja,” kata Faiz.

Selain itu, The Malaysian Insight juga difahamkan bekas Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin dilantik sebagai setiausaha PN Selangor menggantikan Adun Gombak Setia Muhammad Hilman Idham.

Rafiq berkata beliau maklum akan perkara itu namun tidak mengetahui alasan berlakunya pertukaran tersebut.

Pihaknya bagaimanapun tidak menolak kemungkinan ia persediaan bagi mereka memasuki PRN akan datang.

“Saya dimaklumkan begitu, Hilman diganti Dr Afif, alasannya saya tak tahu, itu perlu tanya pengerusi PN.

“Mungkin setiausaha PN banyak kerja perlu komitmen, Hilman nak bertanding perlukan masa berkempen di tempat dia.

“Saya tak tahu sebab pertukaran itu, mungkin Afif takkan bertanding, jadi Afif ada lebih banyak masa lakukan tanggungjawab sebagai setiausaha PN Selangor,” kata Rafiq.

Afif dan Hilman sebelum ini merupakan pemimpin PKR yang menyertai Bersatu selepas dipecat parti, berikutan percaturan politik Langkah Sheraton yang menyaksikan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas Bersatu keluar daripada gabungan itu.

Pada Mac lalu, Afif digugurkan sebagai Adun Seberang Jaya, bersama tiga lagi Adun Bersatu di Pulau Pinang, berdasarkan di bawah Fasal 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Peruntukan itu antara lain menetapkan seseorang Adun hendaklah mengosongkan kerusi sekiranya dipilih sebagai calon parti politik, beliau melepaskan, berhenti atau dilucutkan keahliannya dari sesebuah parti politik ataupun apabila beliau menyertai parti politik lain.

Afif turut dicalonkan mewakili PN pada PRU15 di Parlimen Shah Alam, namun tewas. – 7 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen