Dilema DAP menggantikan MCA


Mohd Azizi Jaeh

DAP kini pangkalan utama sokongan bagi kaum bukan Melayu khususnya masyarakat Cina berbanding dua atau tiga dekad lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2023.

BERBANDING dua atau tiga dekad yang lalu, DAP kini merupakan pangkalan utama sokongan bagi kaum bukan Melayu khususnya masyarakat Cina.

Sejak PRU ke-14 penonjolan DAP dalam pentas politik nasional tidak boleh diketepikan kerana mereka kini sebahagian daripada kerajaan yang memiliki jumlah kerusi terbesar di Parlimen.

Bukan sesuatu yang ganjil apabila DAP diramalkan boleh mengisi ruang kosong yang ditinggalkan oleh MCA.

Biarpun selama berpuluh tahun MCA menjadi pelengkap kekuatan hegemoni Barisan Nasional (BN), namun MCA sedang berada pada tangga tercorot dalam carta pilihan pengundi.

MCA yang berperanan mendapatkan undi kaum Cina selama ini mengalami zaman kemerosotan apabila kehilangan pengaruh dalam beberapa pilihan raya umum.  

Tsunami Cina yang bermula pada PRU ke-12 bukan setakat membawa kejatuhan MCA, bahkan memusnahkan dominasi 39 tahun parti Gerakan di Pulau Pinang.

MCA dan Gerakan adalah rakan kongsi strategik dalam BN ketika itu untuk melawan cabaran DAP.

Kemerosotan pengaruh kedua-dua parti pada masa yang serentak membuka laluan kepada Gerakan keluar daripada gabungan BN dan kemudiannya menyertai Perikatan Nasional (PN).

MCA yang masih kekal dalam BN sekarang berdepan isu kelangsungan serta hubungannya yang semakin dingin bersama Umno.

Bermula dari situ, suatu post mortem yang tak berkesudahan dijalankan bagi mencari punca kelemahan MCA yang sampai kini gagal dipulihkan.

Kekurangan sokongan pengundi Cina dalam PRU15 merendahkan lagi prestasi BN yang sememangnya sedia lemah, sekali gus hampir melumpuhkan tapak sokongan MCA.  

Dengan hanya mencatatkan perolehan dua kerusi iaitu Ayer Hitam dan Tanjung Piai, MCA sudah pun semacam berada dalam kelompok persona non grata (kelompok yang terasing dan tidak dialu-alukan lagi).

Boleh diandaikan bahawa psyche orang Cina merasakan sudah sampai masanya mereka keluar daripada belenggu politik masa lampau.

Kekecewaan mereka terhadap perjuangan MCA yang sering mengalah (kompromi) dan menyokong status quo yang dibina Umno sejak merdeka mengakibatkan orang Cina merasakan diri kian tersisih dalam membuat keputusan politik.

Sepertimana orang Melayu berasa selesa berlindung di bawah naungan parti Melayu, begitu juga masyarakat Cina yang mahukan parti yang mewakili kelompok mereka melindungi kedudukan mereka agar rasa tidak selamat dapat dihakis.

Pendirian politik kaum Cina tidak kekal seperti dulu apabila memberanikan diri untuk membina masa hadapan bersama DAP dan membiarkan era kegemilangan lampau MCA berlalu pergi. Seperti yang pernah diungkapkan oleh tokoh pengasas DAP Lim Kit Siang bahawa “PRU merupakan satu medan pertempuran di antara masa lalu dan masa hadapan. Orang Cina barangkali memilih untuk move forward.

Sokongan yang hampir padu bagi kerusi-kerusi yang ditandingi DAP di kawasan-kawasan bandar dan campuran dalam PRU15 membuka pintu kuasa untuk DAP mengambil giliran menjadi kerajaan – mencatatkan kemenangan 40 kerusi.  

DAP bukan setakat melebarkan pengaruh pada lapisan pengundi Cina, bahkan meluaskan skala sokongan di kalangan masyarakat India. Pendek kata, sifat DAP dilihat lebih pelbagai dalam menarik sokongan pelbagai kaum termasuk Melayu.

Sokongan pengundi Cina untuk Pakatan Harapan dan DAP khususnya pada PRU15 paling tertinggi dalam sejarah, menurut sarjana yang mengkaji tentang politik Malaysia, Bridget Welsh.

Namun, persoalan mustahak yang harus difikirkan, mengapakah orang Cina atau bukan Melayu sekarang memusatkan sokongan kepada DAP dalam memperjuangkan nasib mereka?

Adakah pengundi telah hilang keyakinan dan enggan mengalihkan pandangan kepada parti selain DAP? Adakah parti di luar kerajaan yang mewakili suara orang Cina dianggap tidak penting?

Sebetulnya bukan mudah untuk DAP diterima orang Melayu. DAP berada di tengah gelanggang politik yang terlalu pekat dengan sentimen agama dan etnik yang berlawanan dengan konsep berbilang budaya diperjuangkan parti itu.

Naratif dan kepercayaan masyarakat Melayu melekat kuat dan masih menolak DAP.

Malahan konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang menganjurkan hak sama rata kepada semua kaum yang pernah diperkenalkan DAP berdekad lamanya begitu emotif, bermasalah dan menyentuh psyche orang Melayu.

Tiada satu kuasa yang dapat mengikis imaginasi ketakutan orang Melayu terhadap ‘Malaysian Malaysian’ yang dibawa DAP sejak ditubuhkan pada 1966.

Berbanding DAP, MCA pada mata orang Melayu dipandang lebih lunak, bertolak ansur dan sedia untuk berunding. Pengalaman MCA sejak awal didirikan merupakan lingkungan parti mewakili kerajaan.

Apatah lagi, Umno akrab dengan MCA sebagai gandingan parti yang paling kanan dalam BN. Umno juga kekal sebagai ‘penghulu tetap’ dalam BN, antara faktor MCA tidak dipandang sebagai ancaman dan gugatan.

Ini tidak bermaksud orang Melayu menganggap kedudukannya lebih tinggi atau superior daripada kaum-kaum lain.

Tetapi ia merupakan tanda pengiktirafan dan penghormatan kepada parti politik Melayu yang hakikatnya merupakan teras utama kepada struktur politik Malaysia.  

Keadaan tabii politik Malaysia menjelaskan yang majoriti itu patut memimpin. Sebarang percubaan untuk menyamaratakan kedudukan semua parti mungkin akan ditolak.

Dalam erti kata lain, Melayu akan berasa selamat sekiranya terdapat ‘abang besar Melayu’ mengetuai sesuatu pakatan politik.  

Namun harus diingatkan bahawa kemaraan DAP sekarang tidak bermakna parti itu perlu menggantikan peranan MCA secara bulat-bulat, sebaliknya perlu lebih pragmatik dengan alergi dan sensitiviti orang Melayu.

DAP dengan MCA itu lahir dengan tujuan, ideologi dan pakatan berbeza. Tidak adil kita meletakkan neraca yang simplistik berkenaan metodologi kedua parti berkenaan meskipun mereka berlumba-lumba merebut segmen pengundi yang sama.

Politik Malaysia sekarang telah jauh berubah. DAP mencatatkan sejarah bermakna. Sejarah rasmi negara akan tertulis DAP pernah mengambil giliran menjadi pemerintah dan menjadi pembangkang dalam waktu yang lama.

Lebih penting sejarah selepas ini tidak terhala kepada sesuatu parti atau tokoh yang telah lama dominan.

Kita sentiasa menyisihkan parti politik dan tokoh tertentu jika mereka di kedudukan pembangkang, sedangkan mereka mempunyai jasa dan sumbangan bernilai. Kesilapan kita hanya menghargai parti atau tokoh apabila mereka menjadi kerajaan.

Penganugerahan gelaran ‘Tan Sri’ kepada Lim Kit Siang sebagai menghargai peranannya dalam menyemak imbang dan pembangunan demokrasi Malaysia dikira agak lewat.

Seperti mana negara mengiktiraf tokoh-tokoh MCA, tokoh parti mana pun sewajarnya harus mendapat penghormatan serupa.

Dengan berlakunya penggiliran kuasa, ia memberi peluang kepada golongan dan aliran lain untuk turut serta membina negara bangsa. Semua latar belakang dan fahaman mendapat peluang.

Bagaimanapun, dilema yang terlilit dengan DAP adalah untuk beradaptasi  dalam kebudayaan politik Melayu.

Tuntutan sesetengah pihak untuk DAP menggugurkan dan menukar ideologi dalam perlembagaannya merupakan perkara yang agak berat.

Dalam konteks realpolitik, DAP tidak sepatutnya dikekalkan dalam bentuk asalnya, kerana dengan cara itu sahaja ia boleh diterima oleh Melayu meskipun dalam jangka waktu yang panjang. – 7 Jun, 2023.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen