Tak benar buka puasa? Pilihan raya sudah dekat, kata Guan Eng


Looi Sue-Chern

Lim Guan Eng menyifatkan protest itu dilakukan kerana pilihan raya semakin dekat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue-Chern, 6 Jun, 2017.

PASTINYA disebabkan musim pilihan raya, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng susulan protes kumpulan orang Islam tempatan kerana kehadirannya dalam acara buka puasa.

Katanya, sejak lapan tahun lepas dia sudah menyertai orang Islam dalam acara buka puasa dan tiada sesiapa menjadikan ia satu masalah.

“Pada tahun kesembilan, ia jadi masalah. Mungkin disebabkan tahun ini tahun pilihan raya.

“Pastinya sebab tarikan pilihan raya,” katanya dalam sidang media di Komtar hari ini.

Sejak dua Jumaat berturut-turut, Jaringan Muslimin Pulau Pinang, sebuah kumpulan orang Islam tempatan mengadakan protes selepas sembahyang memberi amaran kepada Lim supaya tidak menghadiri acara buka puasa.

Dua minggu lepas, kumpulan itu melakukan demonstarsi selepas sembahyang Jumaat di luar masjid Simpang Enam, George Town mengisytiharkan Lim perlu masuk Islam sebelum dibenarkan menghadiri acara buka puasa.

Jumaat lepas, kumpulan sama mengadakan protes sekali lagi di luar Masjid Abu Kader di Butterworth, mengancam akan melakukan protes di luar masjid yang dilawati Lim untuk berbuka puasa.

Kumpulan itu turut mendakwa yang kerajaan negeri pimpinan DAP menghalang beberapa fatwa, dakwan lama yang sudah dinafikan jawatankuasa agama dan mufti negeri beberapa kali.

“Terpulang kepada mereka sekiranya mereka mahu ikut. Semua orang ada hak untuk buat bantahan aman.

“Saya menghadiri beberapa acara buka puasa sejak Ramadan bermula dan ia aman sahaja,” kata Lim.

Katanya lagi, Pulau Pinang sentiasa aman dan sejahtera.

Dia turut menambah yang kerajaan negeri juga menaja beberapa acara buka puasa.

“Salahkah buat begitu?”

Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang akan mengadakan acara buka puasa di Permatang Pauh Sabtu ini, di mana semua pemimpin kebangsaan PH dijemput hadir.

Permatang Pauh ialah kerusi Parlimen yang disandang ketua pembangkang dan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail.– 6 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen