Antara Proklamasi dan Reformasi


IBARAT buku bertemu ruas. Itulah perkataan yang terlintas di fikiran saya sewaktu nak memulakan tulisan ini.

Sedar atau tidak, inilah kali pertama dalam sejarah pertarungan politik antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim, yang berlarutan selama lebih 25 tahun, masing-masing kini sudah berstatus “perdana menteri”. PMX vs XPM.

Bukan saja tentang status, tetapi mengenai jenama politik yang kedua mereka bawa. Hari ini Dr Mahathir dengan “Proklamasi” dan Anwar “Reformasi”.

Ketika saya menulis ini, saya di pihak Dr Mahathir berbanding sebelum 2018, saya di sebelah Anwar. Maka, sedikit sebanyak, saya boleh mengenali perbezaan naratif politik kedua ini.

Pertama, tema Reformasi ini saya akui amat ideal dan indah. Antara terasnya ialah keadilan sosial, keluhuran sistem demokrasi, melawan rasuah dan tadbir urus yang baik (good governance).

Namun, orang Melayu tidak terbeli dengan agenda ini kerana ia dilihat agak abstrak. Ini saya sedar ketika saya di luar lingkungan politik Reformasi berbanding sebelum 2018.

Reformasi disampaikan dengan bahasa “tinggi” hingga rakyat di bawah khususnya orang Melayu tidak mampu melihat apakah misi agendanya – tentang bagaimana agenda tersebut boleh dilaksanakan; ia masih lagi kabur sekalipun Anwar sudah menjadi PM.

Bahasa tinggi Reformasi ini sedap digarap menjadi retorika berpidato yang enak didengar oleh penyokong Anwar.

Tidak seperti Proklamasi yang saya kira 12 perkara itu sangat “straight to the point” tanpa menggunakan ayat dan bahasa yang gemerlap seperti Reformasi atau Madani.

Jadi, antara Proklamasi “straight to the point” yang jelas dan mudah difahami misinya berbanding Reformasi yang tinggi bahasa serta maknanya hingga tak jelas misinya bagi rakyat.

Perbezaan kedua ialah, Reformasi menelan banyak korban politik.

Nama-nama besar seperti Khalid Ibrahim (bekas menteri besar Selangor), Dr Fairus Khairuddin (bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang), Annuar Shaari (setiausaha politik), Dr Yusri Mohamad (bekas presiden Abim), Azmin Ali (bekas MB Selangor), Ismail Mina (pengasas bersama Abim), Zulkifli Nordin (peguam Anwar) semuanya meninggalkan Anwar.

Malah orang kuat Anwar seperti Ezam Md Noor dan Cikgu Bad juga tidak lagi bersama dengan Anwar.

Ini termasuk, tokoh cendekiawan seperti Dr Chandra Muzaffar dan Dr Sidek Baba juga meninggalkan pemimpin reformasi itu.

Mereka meninggalkan perjuangan Reformasi Anwar ini atas pelbagai sebab. Tetapi pada umumnya, idea dan semangat Reformasi itu gagal mengikat perjuangan tokoh tersebut.

Ini amat berbeza dengan Proklamasi yang menghimpunkan pelbagai pemimpin, cendekiawan dan anggota NGO untuk bersama memperjuangkan agenda Proklamasi.

Malah, bekas pegawai kanan kerajaan juga tiba-tiba muncul menyatakan sokongan kepada Proklamasi ini.

Kesimpulannya, Reformasi meminggirkan tokoh dan pimpinan Melayu, manakala Proklamasi menghimpun dan mengangkat pelbagai tokoh Melayu baik dari pimpinan politik, cendekiawan dan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) termasuk bekas kakitangan dan pegawai kerajaan.

Ketiga, imej Reformasi ini dijelmakan oleh Anwar sebagai “aksi politik” protes. Sejak 1998 hinggalah 2018, kerja aksi politik protes ini berjalan hingga ke jalan raya. Pelbagai demonstrasi dan himpunan bermacam-macam warna, Himpunan Black 2013, Himpunan Hijau Lynas dan banyak lagi.

Ia amat berbeza dengan imej Proklamasi yang tidak menonjolkan imej gerakan aksi politik jalan raya. Sebaliknya, ia hanya fokus untuk mendapatkan sokongan rakyat menerusi tandatangan Proklamasi. Gerakan ini tidak mengganggu ketenteraman awam atau membuat bingit pada khalayak.

Maka, kita boleh simpulkan Reformasi mengajak rakyat keluar memprotes hingga ke jalan raya, berbanding dengan Proklamasi yang mana ia sekadar turun bertemu dengan rakyat untuk mendapatkan sokongan menerusi tanda tangan Proklamasi.

Dan akhir sekali, Reformasi ini muncul kerana pemecatan Anwar. Rakan karib Anwar, Khalid Jaafar ada mengulas perkara ini menerusi rakaman Tiktok menjelaskan perkataan Reformasi itu sendiri, bukan muncul dari idea Anwar.

Berbeza dengan Proklamasi yang mana, 12 butir perkara yang dicatatkan, adalah daripada “air tangan” Dr Mahathir sendiri.

Saya tahu kerana saya membaca naskhah itu dari catatan Dr Mahathir sendiri sebelum ia diangkat dan dijadikan “Proklamasi Orang Melayu”.

Empat perkara yang saya catatkan ini adalah dari permerhatian saya. Melihat kekuatan dan perbezaan antara Proklamasi dengan Reformasi. – 6 Jun, 2023.

* Mahdzir Ibrahim adalah sekretariat Proklamasi Tanah Air.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen