Opec+ kemaskini tahap pengeluaran bagi 2024 


PERTUBUHAN Negara Pengeksport Petroleum (Opec) dan sekutunya, sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Opec+, pada Ahad bersetuju menyesuaikan tahap pengeluaran keseluruhan mereka kepada 40.46 juta tong sehari (bpd) pada tahun depan, lapor Xinhua.

Opec+ mengumumkan keputusan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat menteri-menteri ke-35 yang diadakan di Vienna awal hari itu.

Dalam kenyataan itu, Opec+ mengulangi usahanya untuk “mencapai dan mengekalkan pasaran minyak yang stabil, dan menyediakan panduan jangka panjang bagi pasaran”.

Oktober lalu, Opec+ mengurangkan sasaran pengeluarannya untuk 2023 (antara November 2022 hingga Disember 2023) kepada 41.86 juta bpd. 

Pada April tahun ini, perikatan itu mengumumkan pengurangan pengeluaran secara sukarela yang selanjutnya sebanyak 1.66 juta bpd.

Keputusan terbaharu Opec+ dibuat di tengah-tengah kejatuhan harga minyak sejak beberapa minggu kebelakangan ini. 

Susulan pengumuman Opec+ pada Ahad, kementerian tenaga Arab Saudi mengumumkan pengurangan pengeluaran minyak sebanyak 1 juta tong sehari, bermula pada Julai selama sebulan dan boleh dilanjutkan, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA).

Kementerian tenaga Saudi memaklumkan pengurangan pengeluaran sukarela itu adalah selaras dengan persetujuan yang dicapai dalam mesyuarat menteri Opec+.

Amerika Syarikat dan negara-negara Barat yang lain selama berbulan-bulan menuduh Opec+ menaikkan harga minyak dan menyemarakkan inflasi dengan mengurangkan pengeluaran, manakala Opec+ menegaskan bahawa pemotongan itu dibuat untuk menstabilkan pasaran minyak ekoran permintaan menjadi lemah di tengah-tengah prospek ekonomi global yang semakin teruk.

Negara-negara Opec+ pada Ahad juga memutuskan untuk mengadakan mesyuarat peringkat menteri setiap enam bulan. 

Mesyuarat Opec+ akan datang dijadual bersidang pada 26 November. – Bernama, 5 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen