Situasi politik tegang, ratusan ditahan


Polis menahan hampir 500 individu di seluruh Senegal sejak protes meletus sebagai reaksi terhadap hukuman yang dijatuhkan kepada seorang pemimpin pembangkang. – Gambar AFP, 5 Jun, 2023.

RATUSAN individu ditahan di seluruh Senegal sejak protes berdarah meletus sebagai reaksi terhadap hukuman yang dijatuhkan kepada seorang pemimpin pembangkang, kata pihak berkuasa.

Keganasan meletus di ibu negara Senegal, Dakar, dan beberapa bandar pada Khamis selepas presiden parti PASTEF-Patriots, Ousmane Sonko dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun atas tuduhan “memperdaya remaja”.

Protes baharu meletus pada Jumaat, jumlah kematian kini mencecah 15 nyawa, lapor Agensi Anadolu.

“Lebih kurang 500 penahanan dilakukan sejak protes bermula.

“Sebahagian yang ditahan adalah ahli parti politik,” kata Menteri Dalam Negeri Antoine Diome kepada wartawan di Dakar.

Beliau berkata keadaan agak tenang pada Sabtu dan Ahad ekoran demonstrasi yang berkurangan.

Menteri itu berkata infrastruktur penting dirampas penunjuk perasaan.

Kerajaan terpaksa menghentikan perkhidmatan rangkaian media sosial buat sementara waktu untuk mengekalkan keamanan di negara Afrika Barat ini.

Semalam, Kementerian Komunikasi berkata kerajaan menangguhkan perkhidmatan data telefon bimbit sebagai sebahagian daripada langkah menghalang “penyebaran mesej benci dan subversif.

Sonko dituduh merogol dan mengancam akan membunuh Adji Sarr, seorang pekerja di sebuah salon kecantikan di Dakar, pada 2021.

Pada Khamis, mahkamah membebaskan Sonko daripada tuduhan rogol tetapi menjatuhkan hukuman dua tahun atas tuduhan memperdaya remaja, yang menyebabkan beliau tidak memenuhi syarat bertanding dalam pilihan raya presiden.

Beliau masih belum ditahan dan dilaporkan berada di kediamannya di Dakar.

Sonko menduduki tempat ketiga dalam pilihan raya 2019 menentang Presiden Macky Sall, tetapi semasa perbicaraan, beliau mendakwa kes itu berunsur politik untuk menghalangnya daripada bertanding pada 2024.

Pada Jumaat, Kesatuan Afrika dan blok serantau Komuniti Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat (ECOWAS) mengutuk kekerasan berkenaan. – Bernama, 5 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen