Semua parti raikan sogokan terbuka pancing undi


G Manimaran

Ketika PRU15 lalu, buat julung kali, SPR menguatkuasakan larangan membawa telefon bimbit ke tempat mengundi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2023.

ENAM bulan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah berlalu. Isu rasuah ketika PRU15 masih kendengaran.

Pada masa sama, sejumlah petisyen PRU15 didengar mahkamah khas pilihan raya. Ada yang ditolak, dan yang diterima untuk didengar. Malah ada yang di peringkat rayuan.

Semua petisyen perlu didengar dalam tempoh setahun sebagaimana diperuntukkan oleh undang-undang pilihan raya.

Setiap petisyen menggariskan alasan masing-masing. Antaranya termasuk sogokan dan rasuah. Definisi rasuah ketika pilihan raya juga terus menjadi polemik. Dua perkara ingin dibawa dalam tulisan kali ini.

Rasuah untuk mendapatkan undi. Salah satu jenis rasuah yang seringkali menjadi sebutan termasuklah menyediakan khidmat tambang kepada pemilih tertentu, bukannya secara umum kepada semua pemilih.

Ia tidak menjadi kesalahan jika tambang disediakan kepada kesemua pemilih, tanpa kira ideologi parti. Perkara ini turut dinyatakan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Seksyen 20 menyebut “dengan syarat sentiasa cara pengangkutan itu hendaklah diadakan sama rata bagi semua pemilih atau pengundi yang hendak menggunakannya”.

Bermakna perkhidmatan pengangkutan perlu disediakan kepada semua pemilih yang memerlukan di satu-satu bahagian, bukannya kepada pemilih tertentu dengan harapan mereka akan menyokong mereka.

Ketika PRU15 kita dapat melihat ada pihak dan badan bukan kerajaan yang menyediakan khidmat bas untuk balik ke kawasan masing-masing untuk mengundi.

Khidmat itu tidak mengkhusus kepada mana-mana parti tertentu. Tetapi khidmat seumpama itu, kebanyakannya, bersandarkan kepada slogan “perlu mengundi untuk mengubah kerajaan”.

Kedua, siapa yang termaktub di bawah peruntukan berkaitan kesalahan bersifat rasuah dalam tempoh pilihan raya. Di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya, ruang tempoh kesalahan yang dimaksudkan ialah sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.

Bahagian tafsiran dengan jelas disebutkan pihak termasuklah di bawah kandungan saman yang difailkan ialah (i) calon termasuklah ejen pilihan raya seseorang calon dan mana-mana orang yang dilantik oleh calon atau ejen pilihan rayanya, dan (ii) wakil parti politik ertinya wakil sesuatu parti politik yang mengambil bahagian dalam pilihan raya itu, yang dilantik oleh calon atau ejen pilihan rayanya untuk menganggotai pasukan penguat kuasa di bawah perenggan 27c(1)(d) dan termasuklah penggantinya yang dilantik di bawah subseksyen 27f(4).

Perkara ini menjadi debat semasa setiap pilihan raya. Hampir setiap parti menimbulkan isu ini. Dan, pada masa sama setiap parti melakukan kesalahan ini.

Keterlibatan dalam kesalahan pilihan raya dibangkitkan dalam dua laporan Bersih selepas PRU15. Dalam laporan pertama akhir tahun lalu, badan pemantau pilihan raya itu antara lain mendakwa pihaknya mengesan banyak parti politik dan calon melakukan aktiviti kempen yang boleh dianggap kesalahan pilihan raya.

Berdasarkan pemantauan, badan itu mendapati parti dan calon juga didakwa tidak menepati piawaian etika kempen pilihan raya yang adil seperti melanggar konvensyen amalan kerajaan sementara selepas pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bersih mendakwa antara kesalahan berkenaan termasuklah pemberian minyak motosikal dan menukar minyak hitam percuma oleh Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) di beberapa kawasan Parlimen dan DUN.

Dalam laporan dikeluarkan tiga bulan kemudian, Bersih mendakwa mengenal pasti keseluruhan 347 kesalahan pilihan raya dilakukan parti politik yang bertanding.

Laporan itu menyenaraikan 10 bentuk kesalahan, iaitu rasuah dan beli undi, penjamuan makanan, pemberian hadiah atau barangan dan pemberian serta pengaruh tidak wajar oleh kerajaan.

Kesalahan lain ialah penggunaan aset kerajaan, intimidasi, gangguan dan keganasan, perbelanjaan berlebihan, kelakuan berat sebelah oleh pegawai awam, undi awal dan undi pos, masalah hari pengundian dan masalah daftar pemilih.

Seksyen 20 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dengan terperinci menyenaraikan perbuatan menyediakan tambahan dan perkhidmatan pengangkutan oleh calon, ejen dan wakil mereka kepada pemilih.

Seksyen 20(1) menyebut: “Tiada pembayaran atau kontrak untuk pembayaran boleh bagi maksud untuk menganjurkan atau mendapatkan seseorang calon dipilih dalam mana-mana pilihan raya, dibuat:”

(a) kerana mengangkut pemilih atau pengundi ke atau dari tempat mengundi, sama ada bagi menyewa kenderaan, vesel atau apa-apa jua jenis binatang pengangkutan, atau bagi tambang kereta api, atau selainnya; atau

(b) kepada atau dengan seseorang pemilih atau pengundi kerana menggunakan mana-mana rumah, tanah, bangunan, atau premis untuk mempamerkan apa-apa alamat, bil, atau notis, atau kerana mempamerkan apa-apa alamat, bil atau notis.

Dalam pada itu, Seksyen 20(2) menyebut, “tertakluk kepada apa-apa kecualian sebagaimana yang dibenarkan menurut akta ini, jika apa-apa pembayaran atau kontrak untuk pembayaran dengan diketahui dibuat berlanggaran dengan seksyen ini sama ada sebelum, semasa, atau selepas sesuatu pilihan raya, orang yang membuat pembayaran atau kontrak itu bersalah atas suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang, dan mana-mana orang yang menerima pembayaran itu atau yang menjadi suatu pihak dalam mana-mana kontrak itu, dengan mengetahuinya sebagai berlanggaran dengan seksyen ini, juga bersalah atas suatu  perbuatan yang menyalahi undang-undang.

Seterusnya Seksyen 20(3) berkata, “seseorang tidak boleh, bagi maksud mengangkut pemilih atau pengundi ke atau dari tempat mengundi, menyewakan, meminjamkan atau menggunakan apa-apa kenderaan, vesel atau apa-apa jua jenis binatang pengangkutan yang disimpan atau digunakan olehnya bagi maksud untuk disewakan, dan jika dia menyewakan, meminjamkan atau menggunakan kenderaan, vesel atau binatang pengangkutan itu dengan mengetahui bahawa ia dimaksudkan untuk digunakan bagi mengangkut pemilih atau pengundi ke atau dari tempat mengundi, orang itu bersalah atas suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang.”

Seksyen 20(4) menggariskan, “seseorang tidak boleh, bagi maksud mengangkut pemilih atau pengundi ke atau dari tempat mengundi, menyewa, meminjam atau menggunakan apa-apa kenderaan, vesel atau apa-apa jua jenis binatang pengangkutan yang diketahuinya pemunyanya dilarang oleh subseksyen (3) daripada menyewakan, meminjamkan atau menggunakannya bagi maksud itu, dan jika dia berbuat demikian, dia bersalah atas suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang.”

Pun begitu, Seksyen 20(6) memberikan sedikit pengecualian dengan berkata, “walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam peruntukan yang terdahulu dalam seksyen ini:”

(a) jika menjadi urusan biasa seseorang pemilih atau pengundi sebagai seorang ejen pengiklanan untuk mempamerkan bil dan iklan untuk mendapatkan bayaran, sesuatu pembayaran kepada atau sesuatu kontrak dengan pemilih atau pengundi itu, jika dibuat dalam perjalanan biasa  urusan, tidak boleh disifatkan sebagai suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang mengikut pengertian seksyen ini;

(b) jika dalam sesuatu pilihan raya pemilih atau pengundi tidak dapat sampai ke tempat mengundi mereka dari tempat atau kediaman mereka tanpa menyeberangi laut atau sesuatu cabang atau aluran laut atau sungai, cara boleh diadakan bagi mengangkut pemilih atau pengundi itu ke tempat mengundi mereka atau untuk membolehkan mereka menyeberangi sungai itu supaya dapat sampai ke tempat mengundi mereka dan jumlah bayaran bagi cara pengangkutan itu boleh menjadi tambahan kepada amaun maksimum belanja yang dibenarkan oleh akta ini.

Kita sering mendengar ada pengundi yang menuntut daripada calon atau ejen calon pilihan mereka kos tambang yang mereka keluarkan untuk keluar mengundi sama ada dengan menggunakan kereta mereka sendiri, bas dan kapal terbang atau apa juga mod pengangkutan yang sesuai dengan mereka. Ini berlaku dalam setiap pilihan raya.

Itu sebabnya ketika PRU15 lalu, buat julung kali, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menguatkuasakan larangan membawa telefon bimbit ke tempat mengundi.

Antara lain bagi melarang pengundi merakamkan kertas undi mereka, sekali gus mengekang perbuatan “menjual undi” selepas keluar dari pusat mengundi, dan mendapatkan bayaran daripada calon, ejen calon atau wakil parti.

Lazimnya bayaran tidak dibuat oleh calon dan ejen calon. Sebaliknya, diuruskan wakil yang dilantik ejen calon. Berdasarkan sumber masa dan tenaga, dengan mengambil kira juga pengundi yang meningkat dengan mendadak ketika PRU15, tidak mungkin “pembayaran” seumpama itu, di sebalik larangan di bawah undang-undang pilihan raya, boleh dilakukan calon atau ejen calon.

Memang mustahil calon akan melakukan sendiri!

Wakil yang dilantik ejen calon, yang sah status dan fungsi mereka di bawah undang-undang pilihan raya, akan melakukan perkara dibenarkan undang-undang. Tetapi ada kemungkinan perkara yang dilarang turut dilakukan oleh mereka. Sebab itu ia menjadi asas kepada petisyen pilihan raya.

Ramai yang tidak faham akan impak tindakan atau perbuatan dilakukan wakil yang dilantik ejen calon. Sedangkan peruntukan berkaitan wakil yang dilantik ejen calon adalah jelas. Kesalahan yang mereka lakukan mempunyai impak yang mendalam sekiranya isu berkenaan dibawa dalam bentuk petisyen pilihan raya.

Soal mengenai fungsi dan batasan peranan seseorang wakil parti politik ertinya wakil sesuatu parti politik yang mengambil bahagian dalam pilihan raya itu, yang dilantik oleh calon atau ejen pilihan raya, perlu dihuraikan dengan jelas untuk memastikan tiada perbuatan rasuah dalam apa jua bentuk sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.

Nampak gaya, undang-undang semasa perlu disemak dan diperkasakan untuk memastikan pilihan raya bebas rasuah, tidak kira siapa yang melakukannya. Kesalahan dimaksudkan boleh dilakukan pihak ketiga atau pihak keempat.

Isu bayaran tambang juga wujud disebabkan pengundi balik ke kampung halaman masing-masing untuk mengundi. Pihak berkuasa pilihan raya perlu menguatkuasakan peruntukan pengundi mengundi di tempat tinggal semasa, bukannya pergi ke kawasan lain untuk membuang undi.

Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) pernah mengesyorkan perkara ini dalam laporannya yang dikemukakan kepada kerajaan tiga tahun lalu.

Kini adalah masa untuk melihat semula segala keperluan bagi mengukuhkan pilihan raya demokrasi di Malaysia. Salah satunya ialah bayaran tambang pengangkutan awam – sebelum ataupun selepas pilihan raya berlangsung, dan menyalahgunakan kenderaan awam dan persendirian bagi tujuan memikat undi pada saat-saat akhir.

Begitu juga senarai pihak yang terangkum dalam senarai pemberi dan penerima “rasuah” dimaksudkan. – 5 Jun, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen