Ambil saranan PM bersihkan tandas secara positif, kata persatuan


Alfian Z.M. Tahir

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menerusi ciapan di Twitter lewat malam tadi menyatakan kementeriannya akan mengusahakan saranan perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2023.

IBU bapa harus menerima nasihat Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya murid sekolah membersihkan tandas dengan cara yang positif, kata majlis permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN).

Pengerusinya Mohamad Ali Hasan memberitahu The Malaysian Insight ibu bapa harus menggalakkan anak-anak mereka menjaga kebersihan bukan sahaja di dalam tandas tetapi juga di dalam bilik darjah dan di persekitaran lain.

“Ibu bapa tidak sepatutnya berasakan ini sebagai cara menjatuhkan maruah anak-anak mereka. Jangan bersikap sombong. Jika negara bukan Islam seperti Jepun boleh bersih, kenapa kita tidak boleh walhal kita majoriti Islam.

“Kita perlu menggalakkan mereka sejak kecil untuk berdisiplin dan merendah diri,” kata Ali.

Ali menyarankan pelajar bermasalah disiplin dilatih membersihkan tandas terlebih dahulu.

“Cadangan supaya pelajar dilatih membersihkan tandas sekolah dengan tujuan mendidik mereka mengenai kebersihan dan menjaga aset awam bukan perkara luar biasa dan kami amat menyokongnya.

“Dahulu, menjadi satu kebiasaan pelajar diarah mengutip sampah di padang sekolah. Mungkin sebagai permulaan, pelajar nakal dan mereka yang mempunyai masalah disiplin seperti membuli orang lain boleh diarah melakukan kerja sosial seperti itu dengan membersihkan tandas sekolah,” katanya.

Semalam, Anwar membangkitkan isu tandas sekolah kotor yang disifatkannya sebagai masalah yang tidak berkesudahan.

Anwar berkata, beliau menyedari keadaan tandas sekolah yang kebanyakannya rosak dan kotor namun kemudahan asas itu masih diabaikan seolah-olah ditinggalkan begitu sahaja oleh pihak bertanggungjawab menyebabkan pelajar tidak ke tandas pada waktu persekolahan.

Mengimbau kembali zaman beliau menjadi Menteri Pelajaran dari 1986 hingga 1991, Anwar berkata kebersihan tandas adalah antara aspek yang diutamakan termasuk mengarahkan sekolah supaya murid mereka bergilir-gilir membersihkan tandas sekolah.

Anwar berkata tindakan itu menyebabkan ibu bapa berada menghantar telegram kepadanya mempersoalkan tindakannya kerana bagi mereka, anak dihantar ke sekolah untuk belajar dan bukannya membersihkan tandas.

Perdana menteri berkata pelajar perlu dididik mengenai aspek kebersihan, termasuk membersihkan tandas sebagai sebahagian daripada arahan mereka, tanpa mengira kedudukan ibu bapa mereka.

Menjawab perkara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menerusi ciapan di Twitter lewat malam tadi menyatakan kementeriannya akan mengusahakan pelaksanaan idea itu.

“Saya mengalu-alukan saranan perdana menteri supaya murid belajar mengenai kebersihan di sekolah.” - 4 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen