Polisi jamin keselamatan sosial pekerja e-hailing dirangka, kata menteri


V Sivakumar berkata kementerian sedang merangka satu dasar bagaimana kerajaan boleh membantu pekerja e-hailing tidak didiskriminasi oleh majikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2023.

KEMENTERIAN Sumber Manusia sedang merangka satu dasar bagi menjamin keselamatan sosial golongan pekerja ekonomi gig membabitkan pekerja e-hailing supaya tidak didiskriminasi oleh majikan.

Menterinya V Sivakumar berkata, ia kini dalam proses penggubalan dasar di peringkat kementerian dan beliau menjangka akan menerima garis panduan berkenaan perkara itu daripada pegawainya dalam dua minggu lagi.

“Kementerian memang sedang merangka satu dasar untuk melihat bagaimana kerajaan boleh membantu supaya golongan ini tidak didiskriminasi oleh majikan mereka, serta memberi mereka perlindungan sosial,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan majlis penutup karnival kerjaya MYFutureJobs dan skim keselamatan sosial suri rumah 2023 negeri Pulau Pinang di Butterworth hari ini.

Beliau berkata, kementerian tidak menolak cadangan penggubalan akta khas membabitkan pekerja e-hailing, bagaimanapun ia akan mengambil masa yang lama untuk direalisasikan.

Katanya kerajaan buat masa ini akan membuat dasar dahulu dan kemudian mengkaji secara terperinci mengenai keperluan penggubalan akta khas berkenaan.

Sementara itu ketika ditanya pandangan beliau mengenai keluhan majikan berhubung kesukaran mencapai nisbah 80:20 bagi buruh tempatan dan asing, Sivakumar berkata majikan perlu menawarkan kemudahan yang menarik selain meningkatkan gaji.

Katanya statistik ketika ini menunjukkan terdapat lebih 1.18 juta warga tempatan yang bekerja di Singapura manakala secara keseluruhan, terdapat 1.8 juta rakyat Malaysia yang bekerja di perantauan, oleh itu majikan harus melihat perkara itu sebagai satu tanda negara tidak kekurangan tenaga pekerja.

“Kita ada pekerja tapi kerana isu tertentu dari segi gaji dan kemudahan yang lain, mereka lebih suka bekerja di negara jiran. Kita perlu bersama-sama meningkatkan tangga gaji walaupun kita tahu ia akan meningkatkan kos.

“Kita perlu melihat perkara ini secara serius untuk jangka masa panjang. Majikan jangan terikat dengan gaji minimum RM1,500 sahaja sebaliknya juga perlu melihat kemudahan dan faedah lain supaya anak-anak kita tidak memilih untuk merantau,” katanya. – Bernama, 4 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen