Hanya majoriti boleh memimpin, PAS beritahu Anwar


Alfian Z.M. Tahir

Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Umno membuktikan ia berjaya mewujudkan kestabilan apabila memimpin negara dengan kerjasama pemimpin Cina dalam MCA dan India daripada MIC. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2023.

TIADA salahnya PAS menggunakan naratif cara lama dalam mempersoalkan hanya orang Islam boleh memerintah Malaysia, kata pemimpin parti itu.

Mereka berkata secara realitinya majoriti patut memimpin negara dan demi kestabilan, orang Melayu Islam patut mengemudi kerajaan seperti dibuktikan oleh Umno bagi tempoh 60 tahun.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad kedua-duanya menyelar Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana membangkitkan isu Melayu Islam sebagai pemimpin tertinggi negara.

Semalam Anwar berkata PAS harus meninggalkan naratif kolotnya apabila mengatakan kerajaan perpaduan yang dipimpinnya menjaga hak semua rakyat Malaysia selain tidak mengabaikan orang Melayu.

Beliau menolak dakwaan PAS bahawa Pakatan Harapan (PH) tidak layak mentadbir kerana gabungan itu terdiri daripada parti bukan Islam.

Anwar berkata PAS harus melihat dasar yang dilaksanakan kerajaannya.

Menurut Tuan Ibrahim, Umno membuktikan dengan jelas ia berjaya mewujudkan kestabilan apabila memimpin negara dengan kerjasama pemimpin Cina dalam MCA dan India daripada MIC.

“Majoriti perlu memimpin demi perpaduan dan kestabilan. Selama lebih 60 tahun Umno melakukannya.

“Anwar kena rujuk hadis Nabi yang mana Nabi pernah bersabda majoriti (kaum Quraisy) ketika itu mesti memimpin orang Arab demi kestabilan.

“Ia berlaku di Amerika Syarikat, majoriti menjadi pemimpin, bukan minoriti,” katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu bagaimanapun berkata, majoriti tidak boleh mendiskriminasi minoriti dan mesti bertindak adil terhadap semua.

Anwar Ibrahim berkata PAS harus melihat dasar yang dilaksanakan kerajaan pimpinannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2023.

“Apabila majoriti memimpin, mereka tidak boleh menindas minoriti, mereka mesti menghormati hak minoriti dan dengan berbuat demikian, tidak akan timbul isu diskriminasi.

“Perdana menteri silap. Kita tetap kuat apabila majoriti menjadi tonggak utama dalam kerajaan,” katanya.

Pada Jumaat, Anwar mengingatkan pembangkang, Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum yang menjaga hak Islam.

“Ini adalah jaminan keamanan negara kita. Saya tidak suka orang terpedaya dengan sentimen ini,” katanya.

Beliau memberi respons komen Presiden PAS Abdul Hadi Awang sehari sebelumnya yang menyatakan PH tidak layak memimpin negara kerana gabungan itu didominasi parti bukan Islam.

Hadi dilaporkan berkata kerajaan lemah kerana tidak dipimpin oleh parti Melayu-Islam.

Sementara itu, Idris mempersoalkan Anwar dengan bertanya kepada ahli Parlimen Tambun itu sama ada salah bercakap mengenai Islam dan orang Melayu.

Bekas menteri hal ehwal agama itu menjadikan Kelantan sebagai contoh yang mana tiada sesiapa pun dilayan buruk oleh kerajaan Islam.

“Ambil contoh Kelantan, tiada seorang Cina pun dihalau keluar dari negeri itu dalam tempoh 30 tahun PAS mentadbir negeri. Apa salahnya mahukan kerajaan Melayu Islam.

“Adakah ia perkauman? Adakah kita hanya mahukan seseorang yang boleh bercakap mengenai Islam, membaca al-Quran namun pada masa sama menari dalam majlis sebagai pemimpin,” kata ahli Parlimen Bagan Serai itu. – 4 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen