PAS hari ini menggesa umat Islam mempertahankan komuniti dan negara daripada evangelis Kristian, mengatakan ianya satu kewajipan kerana ianya mengancam cara hidup agama rasmi Malaysia.
Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berkata, golongan evangalis Kristian bersikap “agresif” dan “licik” dalam merencana gerakan menguasai politik negara.
“Evangelis Kristian tidak boleh dipandang sebelah mata. Melampau dan keterlaluan memusuhi Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nasrudin bagaimanapun tidak menyatakan apakah contoh tindakan “agresif” dan “licik” kumpulan berkenaan untuk menguasai politik negara.
Nasrudin turut menggesa umat Islam untuk menguasai ilmu agama dan mempraktikannya dalam kehidupan seharian.
“Rapatkan saf. Elak bertelagah dalam perkara remeh.
“Bangkit pertahankan ummah dan negara daripada angkara evangelis Kristian,” kata ahli Parlimen Temerloh itu.
Kenyataan Nasrudin itu dikeluarkan selepas heboh isu perhimpunan “Jurusalem Jubilee” yang dikatakan menyokong Zionisme dan bakal diadakan di Melaka.
Semalam Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan polis mengharamkan perhimpunan “Jerusalem Jubilee” di Melaka minggu depan, walaupun penganjur sudah memutuskan untuk membatalkan acara itu.
“Bila hati umat Islam tersentuh, terhiris, dilukai ...saya sebagai menteri dalam negeri mengarahkan pihak polis mengharamkan perjumpaan itu. Ini adalah mesej yang lantang dan jelas.
“Sesiapa yang menganjurkan Jerusalem Jubilee, permit kamu dibatalkan di bawah arahan rasmi saya selaku menteri hal ehwal dalam negeri,” katanya seperti dipetik dalam Bernama. – 6 Jun, 2017.
Komen