DAP masih pilih Anwar sebagai perdana menteri


Looi Sue-Chern

DAP masih memilih Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan memenangi Pilihan raya Umum Ke 14 (PRU14), kata setiausaha agung parti itu Lim Guan Eng, masih mengekalkan sokongan partinya kepada ketua umum PKR yang sedang menjalani hukuman penjara itu.

Lim juga menafikan wujudnya perpecahan dalam kepimpinan PH dan masalah memilih calon perdana menteri, berkata yang dakwaan itu mungkin propaganda Barisan Nasional untuk menggambarkan situasi dalaman PH tidak berapa baik.

“Siapa kata kami tak baik? Kami masih bermesyuarat. Dalam proses demokratik, semua orang diberikan ruang untuk memberi pandangan mereka.

“Hanya kerana kami mengadakan perbincangan, dan beberapa keputusan yang orang lain mahu dengar tetapi kami tak umumkan lagi, mereka buat kesimpulan yang tidak tepat,” katanya kepada wartawan di Komtar hari ini.

Lim, bagaimanapun, tidak mahu mendedahkan agenda mesyuarat majlis presiden PH Jumaat ini, kecuali mengatakan yang isu calon perdana menteri tidak ada dalam senarai.

“Ia pertemuan yang dijadualkan. Saya sepatutnya tak boleh beritahu anda ini, tetapi agenda siapa PM tidak termasuk (untuk dibincangkan). Beberapa orang pemimpin juga berada di luar negara,” katanya.

Lim diminta mengulas khabar angin yang terdapat masalah dalam PH sehingga menyebabkan gabungan pembangkang itu sukar menamakan calon pilihan perdana menteri mereka.

Ketiadaan nama calon perdana menteri PH, ketika pilihan raya umum semakin hampir, membuka peluang kepada Barisan Nasional untuk mengkritik PH dan pandangan pengundi juga wujud yang PH masih lagi tidak boleh bekerjasama dengan baik.

Minggu lepas, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Dr Mahathir Mohamad berkata yang dia akan mempertimbangkan menjawat kembali jawatan lamanya sekiranya PH mahukan dia sebagai calon perdana menteri.

Tetapi semalam, Anwar, yang selama ini dilihat sebagai bakal perdana menteri, berkata PH akan membuat keputusan berdasarkan konsensus dan bukannya tawarkan diri.

Lim berkata ia adalah sebahagian daripada dugaan yang perlu dihadapi PH sekiranya mahu menonjolkan dirinya sebagai pilihan alternatif selain BN.

“Sekiranya wujud percanggahan dalam pakatan, mereka yang terlibat boleh selesaikan sendiri.

“Hanya untuk sementara sahaja, terdapat beberapa cadangan (tentang siapa yang sepatutnya menjadi perdana menteri). Anwar dah kata ia terbuka untuk perbincangan dan kami akan menggunakan konsensus semua.

“Pandangan diberikan pelbagai pihak. Kami adalah individu yang lantang bersuara.

“Setakat yang kami tahu, tidak ada pertelagahan. Sentiasa memberi dan menerima,” katanya.

Lim juga mengatakan dakwaan yang PH tidak berpadu sepertimana dahulu “dibesar-besarkan media BN”.

Katanya lagi semua parti dalam pakatan memerlukan ruang untuk berbincang dan menyesuaikan diri untuk terus bergerak ke depan, bukan hanya Bersatu yang baru menyertai PH.

“Kami semua perlu menyampaikan pandangan dan (belajar) sesuaikan diri. Proses ini kami lakukan dengan baik,” katanya.

Katanya lagi ceramah pertama mereka dengan pemimpin Bersatu yang merupakan bekas pemimpin Umno memang janggal, tetapi kini acara DAP seringkali menjemput Dr Mahathir, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir dan sudah jadi kebiasaan.

“Kita tak boleh harapkan semua perkara berubah sekelip mata. Ia juga bergantung samada kami mempunyai cukup masa untuk menyesuaikan diri,” katanya, merujuk kepada PRU 14 yang bakal dilaksanakan bila-bila masa sahaja.

Ditanya tentang sambutan akar umbi mengenai PKR, DAP dan Amanah bekerjasama dengan tokoh seperti Dr Mahathir, perdana menteri paling lama berkhidmat, Lim berkata “ tiada masalah” untuk bekerjasama dengannya sekarang kerana Dr Mahathir sudah meninggalkan Umno.

“Ia sesuatu yang semua orang bergelut (untuk terima), terutama bila kami sudah melawannya sejak dulu lagi.

“Ketika ini, apabila kami mahukan perubahan dalam kerajaan, ia tidak merugikan untuk ada orang lain, yang dahulunya pernah berada dalam rejim atau struktur kuasa tetapi sudah keluar kerana mereka sendiri jelik dengan korupsi di dalamnya.

“Mereka bersetuju untuk keluar berdepan dan melawan struktur kuasa kerana mereka bersetuju yang ia sedang menghancurkan negara,” katanya.

Lim juga menambah yang benar pakatan pembangkang tidak bersetuju dengan Dr Mahathir dalam sesetengah perkara, tetapi juga benar yang mantan perdana menteri berusia 92 tahun itu tidak pernah mempunyai berbilion ringgit dalam akaun bank peribadinya. 

“Dia sanggup tinggalkan Umno, yang dia ketuai selama 22 tahun untuk menyingkirkan kerajaan untuk selamatkan Malaysia,” katanya, menambah yang semua orang tahu dan sedar kesan skandal 1Malaysia Development Berhad.

Anwar juga dahulunya orang Umno sehinggalah dia dipecat dan menjadi politikus pembangkang, tetapi rakyat boleh terima, tambah Lim lagi.

“Maklumbalas (bekerja dengan Dr Mahathir) bercampur-baur tetapi ramai yang faham. Penyokong kami dan pergerakan masyarakat sivil faham perkara ini.

“Saya tak kata kita perlu maafkan dan lupakan semua keterlaluannya (kesilapannya). Ada cabaran yang lebih besar menunggu kita,” katanya.

Lim juga berkata parti BN dari Sabah sehinggalah ke Pulau Pinang sepatutnya menjawab persoalan sebenar yang menyelubungi dana 1MDB.

“Ini adalah masalah sebenar. Mengapa mereka tak jelaskan?” – 6 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen