PBB salur AS$3 juta untuk pelarian di Bangladesh


Menurut PBB, dengan pembiayaan kecemasan ini, rakan kongsi kemanusiaan dapat memberi tumpuan kepada menyediakan tempat perlindungan, pembaikan infrastruktur, pembersihan serpihan dan tambahan barangan bantuan. – Gambar EPA, 2 Jun, 2023.

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat meluluskan bantuan kecemasan berjumlah AS$3 juta susulan siklon tropika Mocha yang melanda tenggara Bangladesh, lapor Xinhua.

Setiausaha Agung PBB Martin Griffiths yang juga penyelaras bantuan kecemasan membenarkan peruntukan daripada Tabung Tindak Balas Kecemasan Pusat selepas kemusnahan akibat ribut di kem 40,000 pelarian Rohingya pada bulan lalu, kata Stephane Dujarric, jurucakap Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.

“Dengan pembiayaan kecemasan ini, rakan kongsi kemanusiaan dapat memberi tumpuan kepada menyediakan tempat perlindungan, pembaikan infrastruktur, pembersihan serpihan dan tambahan barangan bantuan.

“Sementara itu, Program Makanan Sedunia (WFP) terpaksa mengurangkan nilai baucar makanan kepada pelarian Rohingya daripada AS$10 kepada AS$8 (setiap orang) sebulan.

“Ini adalah kali kedua WFP terpaksa mengurangkan catuan dalam masa tiga bulan sahaja,” katanya.

Dujarric berkata pada Mac, baucar makanan dikurangkan daripada AS$12 kepada AS$10 dolar setiap orang kerana krisis pembiayaan.

“Dalam kes ini, hampir sejuta pelarian Rohingya masih bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan untuk memenuhi keperluan asas mereka termasuk makanan,” katanya.

Dujarric berkata WFP merayu untuk memperoleh AS$50 juta bagi memulihkan bantuan makanan kepada AS$12 setiap orang sebulan.

“Apa-apa sahaja di bawah nilai itu akan membawa akibat buruk, bukan sahaja pada pemakanan wanita dan kanak-kanak, tetapi juga pendidikan, perlindungan, dan keselamatan mereka di kem,” katanya. – Bernama, 2 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen