Polis siasat Dr M berkait Proklamasi Orang Melayu


Alfian Z.M. Tahir

Bekas pengerusi Pejuang itu disiasat di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan atas aktiviti yang ‘memudaratkan demokrasi berparlimen’ yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2023.

BEKAS perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad hari ini disoal dan dirakam keterangan berkait gerakan ‘Proklamasi Orang Melayu’ yang diasasnya, kata peguam Rafique Rashid Ali.

Kata Rafique kenyataan Dr Mahathir dirakam oleh Bukit Aman di Yayasan Albukhary sekitar jam 12.30 tengah hari tadi.

“Dr Mahathir menyatakan beliau sedia dituduh di mahkamah dan menyatakan akan menjawab soalan-soalan di mahkamah,” katanya melalui klip video yang disiarkan di InspirasiChannel.

Bekas pengerusi Pejuang itu disiasat di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan atas aktiviti yang ‘memudaratkan demokrasi berparlimen’ yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun.

Sementara itu Rafique sempat menasihatkan orang lain yang mungkin akan dipanggil polis agar mencontohi bekas perdana menteri itu dengan menjawab segala soalan di mahkamah.

Adakah bercerita tentang orang Melayu atau proklamasi orang Melayu itu salah di sisi undang-undang?

“Kepada sesiapa yang lain dipanggil, disiasat oleh polis jangan gentar, jangan takut. Buat saja seperti Tun, jawab di mahkamah, biar rakyat faham apa itu Proklamasi Orang Melayu,” katanya.

Proklamasi Orang Melayu merupakan insiatif terbaharu bekas perdana enteri itu untuk menyatukan kembali orang Melayu.

Dr Mahathir melihat proklamasi itu mampu memberi kesedaran kepada orang Melayu tentang nasib mereka yang dilihat kehilangan kuasa di negara sendiri di mana jika penyatuan tidak dicapai, kedudukan kaum itu akan semakin terhakis.

Usaha itu mendapat sokongan beberapa pemimpin PAS termasuk Presidennya Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin lain.

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu, Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris dan Ahli Majlis Pimpinan Tertingginya Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid turut menyatakan sokongan dengan menandatangani proklamasi itu atas kapasiti peribadi. – 2 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen