DAP, PKR hadir perhimpunan agung Umno minggu depan


DAP dan PKR akan menghadiri perhimpunan agung Umno buat kali pertama sejak menjadi rakan kongsi kerajaan perpaduan tahun lepas.

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata pemimpin semua parti dalam kerajaan akan menghadiri perhimpunan agung yang akan berlangsung 7 hingga 10 Jun ini.

Ini termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang merupakan presiden PKR.

“Tahun ini agak berbeza kerana perdana menteri akan menghadiri perhimpunan kita, bersama 19 ketua parti lain di bawah kerajaan perpaduan,” kata Asyraf dalam sidang media hari ini.

Beliau juga menafikan Pemuda Umno tidak memberi jemputan kepada rakan sejawatan mereka dalam parti lain dalam kerajaan perpaduan.

“Biasanya sayap masing-masing akan mengikut arahan cabang utama. Jika Umno sendiri yang menjemput parti kerajaan perpaduan, mereka akan mengikutnya.”

Umno, MCA dan MIC kini menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan. Parti komponen BN sebulat suara bersetuju untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri selepas tiada satu parti pun dapat membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum lalu. – 2 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen