Jentera parti sudah bergerak hadapi pilihan raya negeri


Mohd Farhan Darwis

Akar umbi dan jentera PKR kini diarahkan fokus di kawasan masing-masing sementara menunggu pengumuman pembubaran DUN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2023.

JENTERA parti politik kerajaan mahupun pembangkang sudah mula bergerak di lapangan, menjelang pembubaran enam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka selepas pertengahan bulan ini yang akan membawa kepada pilihan raya negeri (PRN) pada akhir Julai atau awal Ogos nanti.

Setiap parti sudah menggerakkan jentera di peringkat akar umb bagi mengumpul data untuk mendapatkan gambaran sebenar pengundi dari Pusat Daerah Mengundi (PDM) masing-masing dan seterusnya memudahkan urusan kempen.

Enam negeri – Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, dan Kedah – akan mengadakan pilihan raya kerana tidak membubarkan DUN serentak semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), November tahun lalu.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohamad Hamizi berkata akar umbi dan jentera PKR kini diarahkan fokus di kawasan masing-masing sementara menunggu pengumuman pembubaran DUN.

Katanya, fokus mereka ialah pengundi atas pagar yang beralih undi menyokong Perikatan Nasional (PN) semasa PRU15.

“Betul ada kerajaan perpaduan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang bergabung, tetapi PRU lepas kita lihat banyak penyokong BN lari ke PN… itu penyokong atas pagar.

“Oleh itu kita dah bekerja lama, dari segi persiapan jentera, kita sudah adakan retreat, Pemuda juga sudah agihkan tugas dan kita semua fokus kepada kawasan dan cabang masing-masing,” katanya.

Ketua AMK Ampang itu juga berkata, partinya sudah mengenal pasti lokasi bilik gerakan utama (BGU) setiap kawasan dan akan mula bergerak secara rasmi minggu ini.

“BGU adalah bilik perang bagi merencana persiapan untuk menghadapi PRN. Kita jangka minggu terakhir Jun pengumuman pembubaran DUN, itu jangkaan kita.

“Selepas itu, BGU akan jadi pusat sehenti, bagi semua gerak kerja berkaitan PRN seperti bahan kempen, strategi, kenal pasti kawasan putih, hitam,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

“Kita kena bersedia sebelum calon masuk. Sekarang kita tidak tahu siapa calon lagi, tapi kena bersedia,” tambahnya.

Kumpul data pengundi

Ketua Pemuda Umno Selangor Mohd Imran Tamrin pula berkata jentera khususnya sayap parti itu juga sudah bergerak mengumpul data pengundi di kawasan masing-masing.

Umno akan membuka bilik gerakan di kesemua 22 kawasan Parlimen di Selangor, sebelum bergerak ke kawasan-kawasan mengikut DUN masing-masing, katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang.

“Di Selangor akan ada 22 bilik gerakan mewakili kawasan Parlimen, yang menyelaras DUN masing-masing, tetapi bilik gerakan di setiap DUN belum ada lagi. 

“Material kempen seperti poster, banner, bunting, belum ada lagi tetapi jentera parti setakat ini mengumpul data pengundi masing-masing melalui anggota JR (Jalinan Rakyat) parti,” katanya, ketika dihubungi baru-baru ini.

JR yang kebanyakannya merupakan anggota sayap Wanita Umno akan mengumpul data pengundi di setiap kawasan seperti kampung dan perumahan sebelum dikumpulkan menjadi data besar untuk parti mengenalpasti pengundi berpotensi mereka.

PH dan BN akan bergerak bersama-sama dalam kempen PRN kali ini selepas kedua-dua parti itu bergabung menubuhkan kerajaan perpaduan.

PN tunggu bubar

Sementara itu, Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, PN akan membuka bilik gerakannya apabila DUN sudah dibubarkan.

Namun begitu, ada sesetengah kawasan sudah menggerakkan bilik gerakan secara tidak rasmi dan mengadakan perbincangan tidak rasmi antara anggota jentera di kawasan terlibat 

“Secara umumnya gerak kerja akar umbi macam biasa. Tidak ada masalah besar. Bilik gerakan hanya akan buka bila kita betul-betul dah bubar.

“Baru akan ada pelancaran biasanya begitu. Tidak ada tarikh spesifik, ia dibuka selepas pembubaran DUN bila dah nak isytihar calon pada ketika itu semua bilik gerakan di kawasan kita bertanding akan dibuka.

“Tapi memang ada yang sudah buka, sama macam PRU sebelum ini, ada buka awal ada lambat sikit, ikut kawasan masing-masing,” kata Faiz.

Beliau berkata, BGU akan menerima bahan daripada bahagian penerangan yang seterusnya akan disalurkan kepada pengundi sasaran.

“Setiap kawasan ada cara berbeza untuk kempen itu, saya dalam pihak biro penerangan Bersatu, kami lebih kepada macam mana naratif, menyantuni naratif, isu semasa, menjawab atau mencetus, lebih kepada media sosial, dan ‘counter’ propaganda. 

“Penerangan pula satu lagi pihak, satu lagi media dan komunikasi, semua info diformulakan di penerangan pusat akan dialirkan kepada media dan komunikasi, mereka akan tolong mewar-warkannya,” kata Faiz lagi.

BGU juga katanya, menjadi tempat pengumpulan maklumat bagi komuniti setempat berhubung kempen PRN.

“BGU jadi rujukan warga PN di satu-satu kawasan, merujuk data, bahan kempen, tempat berkumpul dan berbincang. 

“Proses ini berlaku setiap masa tapi semakin rancak menjelang dekatnya PRN. Lebih fokus lagi bila dah nak menghadapi PRN,” kata Faiz lagi. – 1 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen