KKM kemas kini SOP Covid-19, diumum dalam masa terdekat, kata menteri


Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa menasihati rakyat Malaysia untuk kekal mengamalkan SOP sedia ada dan keselamatan kendiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2023.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sedang mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang akan diumum dalam masa terdekat.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata ia susulan pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 5 Mei lepas yang memutuskan Covid-19 bukan lagi dikategori sebagai kecemasan kesihatan global (PHEIC).

Bagaimanapun beliau menasihati rakyat Malaysia untuk kekal mengamalkan SOP sedia ada dan keselamatan kendiri termasuk memakai pelitup muka ketika di tempat awam terutama mereka yang bergejala, mensanitasi tangan serta menjaga kebersihan diri. 

“Kami di KKM sedang membincangkan langkah perlindungan terkini yang akan dilaksanakan kepada rakyat dalam masa terdekat meskipun Covid-19 tidak lagi menjadi kecemasan kesihatan yang menjadi kepentingan antarabangsa ataupun PHEIC,” katanya menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook hari ini.

Dilaporkan WHO memutuskan pandemik Covid-19 yang mengorbankan lebih 6.9 juta nyawa di seluruh dunia tidak lagi dikategori sebagai kecemasan kesihatan antarabangsa selepas ia melanda sejak tiga tahun lepas. – Bernama, 30 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen