LEMBAGA Pembangunan Rwanda (RDB), sebuah institusi kerajaan Rwanda hari ini mengumumkan pelancong yang melawat taman negara Rwanda tidak lagi perlu menjalani ujian saringan Covid-19 tetapi perlu memakai pelitup muka jika melawat haiwan primat, lapor Xinhua.
Langkah itu diambil bagi memulihkan kembali industri pelancongan daripada kesan buruk pandemik Covid-19.
Keputusan itu dibuat berikutan pengisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 5 Mei bahawa Covid-19 tidak lagi merupakan “darurat kesihatan global”.
Hasil pelancongan Rwanda meningkat kepada AS$445 juta pada 2022 meningkat 171.3 peratus daripada tahun sebelumnya dengan pelancongan berasaskan alam semula jadi berpotensi memacu pertumbuhan ekonomi negara, menurut data RDB terkini.
Jejak Gorilla, tarikan pelancong unik di negara Afrika Timur itu menjana pendapatan AS$113 juta.
Rwanda turut menarik kira-kira 110,000 pelawat ke taman negara pada 2022, meningkat 142.4 peratus berbanding tahun 2021.
Menurut RDB negara itu menyasarkan hasil sektor pelancongan sebanyak AS$800 juta menjelang 2024. – Bernama, 30 Mei, 2023.
Komen