Sabah noktahi budaya Adun lompat parti


G Manimaran

SABAH sinonim dengan budaya keluar parti. Ia bukan sesuatu yang luar biasa di Negeri Di Bawah Bayu. Laporan mengenai perbuatan keluar parti dan masuk parti lain seringkali muncul dalam media. Malah bilangannya meningkat sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018.

Budaya sedemikian pernah mengubah kerajaan dan ketua menteri dalam beberapa jam pada tahun 2018. Begitu juga ketika pilihan raya umum negeri (PRN) pada tahun 1994, dan punca PRN 2020 diadakan. 

Sebagai wartawan saya pernah mendokumenkan detik-detik yang berlaku sejurus selepas PRN 1994, yang membawa kepada penjajaran politik di Sabah, bukan saja siri peristiwa berlaku di Kota Kinabalu, malah di ibu negara.

Itulah impak apabila tiada undang-undang khusus yang berkaitan.

Malah beberapa hari sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah membahas dan meluluskan undang-undang yang melarang perbuatan lompat parti, Timbalan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Juil Nuatim mengumumkan keluar parti untuk menjadi Adun bebas.

Tindakan wakil rakyat Limbahau itu dilakukan ketika rang undang-undang berkaitan antilompat parti hendak dibawa ke Persidangan DUN Sabah pada 25 Mei lalu.

Ketika pengumuman itu dibuat Juil menjelaskan bahawa beliau akan kekal sebagai Adun bebas yang menyokong kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor.

Beliau memenangi kerusi Limbahau atas tiket Parti Warisan (Warisan) pada PRN, yang berlangsung pada September 2020 ketika pandemik Covid-19, sebelum keluar dari parti itu pada Disember 2021 dan menubuhkan KDM bersama bekas naib presiden Warisan, Peter Anthony pada Februari 2022.

Tiga hari selepas mengumumkan meninggalkan KDM, Juil diterima sebagai ahli langsung Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketika menggulung perbahasan mengenai undang-undang baharu itu, Hajiji, yang juga Pengerusi GRS berkata, “jadi dengan lulusnya pindaan ini, maka kita tidak lagi perlu susah hati mengenai Adun yang akan pindah atau lompat parti pada masa akan datang, ini selaras dengan undang-undang di peringkat persekutuan.”

Hajiji yang pernah berada dalam Umno sebelum menyertau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada tahun 2018, menambah, “syukur Alhamdulillah sidang DUN Sabah sudah selesai diadakan dan saya juga bersyukur dan berterima kasih kerana pindaan perlembagaan termasuk undang-undang antilompat mendapat sokongan Adun keseluruhannya.” 

“Ini menunjukkan bahawa kita mengamalkan satu prinsip musyawarah untuk mendapat keputusan demi kepentingan rakyat dan negeri Sabah,” kata beliau kepada media selepas pindaan ke atas Perlembagaan Negeri Sabah akhirnya diterima dan diluluskan.

Hajiji berkata, beliau yakin rakyat dan semua parti politik bersetuju dengan keputusan peruntukan terbaharu itu, terutama mengenai Perkara 6(7). Kata beliau, rang undang-undang itu bertujuan menggugurkan Perkara 6(7) dalam Perlembagaan Negeri Sabah kerana ia tidak lagi selaras dengan kehendak di bawah Perkara 6(3) berikutan situasi politik semasa.

Perkara 6(3) antara lain merujuk tentang Yang Dipertua Negeri Sabah melantik seorang ketua menteri yang merupakan seorang Adun negeri yang pada pertimbangannya mendapat kepercayaan majoriti Adun.

Perkara 6(7) pula merujuk sebuah parti politik yang memenangi kerusi majoriti pada pilihan raya, ketua parti itu merupakan seorang Adun Sabah yang mempunyai kemungkinan mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan.

Sabah merupakan antara lima negeri yang belum meluluskan undang-undang bagi melarang perbuatan lompat parti sehingga minggu lalu. Diharap langkah terkini ini akan meletakkan noktah ke atas budaya keluar parti.

Sebenarnya Sabah dilihat akan muncul sebagai parti pertama akan berbuat demikian selepas Parlimen mengambil langkah awal pada Julai lalu.

Untuk rekod Sabah merupakan negeri pertama meminda undang-undang negeri selepas Parlimen meluluskan peruntukan berkaitan Dasar Undi18 dan pendaftaran pengundi secara automatik.

Bagaimanapun dalam soal mengekang atau melarang perbuatan melompat ia tidak muncul ‘juara’ negeri. Kemungkinan ada sebab tertentu. Bukan mudah untuk memujuk parti-parti di Sabah untuk bersetuju kepada penetapan undang-undang yang penting seperti itu.

Akhirnya, dengan detik bersejarah pada 25 Mei lalu, diharap Sabah akan bebas daripada cerita-cerita mengenai wakil rakyat melompat parti, yang menjadi antara punca kepada kestabilan kerajaan negeri.

Seperti kata Hajiji, tidak perlu “susah hati” lagi mengenai ada wakil rakyat yang mahu keluar satu parti dan menyertai parti lain.

Sebagaimana telah disebutkan sebelum ini, undang-undang antilompat parti di negara ini masih belum lengkap. Masih ada kelemahan dan kecacatan yang tidak mengekang seratus peratus budaya keluar parti. Sekurang-kurangnya undang-undang semasa menjadi asas kepada usaha menoktahkan budaya wakil rakyat parti, termasuk di Sabah.

Semoga usaha mutakhir ini bakal memberi wajah baharu kepada politik di Sabah dan Malaysia secara keseluruhan. Kestabilan politik sesebuah negeri juga ada hubung kait dengan situasi di peringkat nasional dan persekutuan. – 29 Mei, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen