Nik Nazmi bincang kesan El-Nino, jerebu di Singapura


Nik Nazmi Nik Ahmad berkata sebanyak 1,845 kes pembakaran terbuka direkodkan bagi tempoh 1 Januari hingga semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2023.

KERAJAAN akan memperkemas strategi dan mengukuhkan kerjasama dua hala dengan negara jiran, serta hubungan pelbagai hala di peringkat rantau Asean dalam menghadapi monsun barat daya dan El Nino.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata bagi tujuan itu, beliau akan mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat Menteri Alam Sekitar Asean mengenai jerebu merentas sempadan pada 7 dan 8 Jun di Singapura.

“Mesyuarat itu bagi membincangkan mengenai persediaan negara MSC menghadapi cuaca panas dan kering serta kemungkinan fenomena El Nino,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau turut mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk jerebu dan cuaca kering kebangsaan di Putrajaya hari ini yang antara lain membentangkan laporan terkini cuaca, kualiti udara, tindakan dan strategi bagi mencegah pembakaran terbuka serta jerebu setempat.

Nik Nazmi berkata turut dibincangkan mengenai persediaan menghadapi kemungkinan berlakunya insiden jerebu merentas sempadan.

Beliau berkata dalam mesyuarat itu Jabatan Meteorologi Malaysia turut memaklumkan negara kini berada dalam fasa monsun barat daya (MBD) yang dijangka berterusan sehingga September 2023, malah MBD 2023 dijangka lebih kering berbanding MBD tahun 2020 hingga 2022.

“Pada masa ini, keadaan El Nino-Southern Oscillation (ENSO) adalah neutral dan keadaan El Nino dijangka berlaku pada separuh tahun kedua 2023 dengan kebarangkalian 82%.

“Berdasarkan situasi cuaca ini, jerebu tempatan dan jerebu merentas sempadan boleh berlaku sekiranya kebakaran terbuka tidak dikawal,” katanya.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata sebanyak 1,845 kes pembakaran terbuka direkodkan bagi tempoh 1 Januari hingga semalam dan terdapat lima kes kebakaran berskala besar dilaporkan baru-baru ini membabitkan hutan tanah gambut, tapak pelupusan sampah dan tapak pelupusan sampah haram.

“Pada masa ini, tiga kes kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan semua jabatan, agensi dan kerajaan negeri diminta untuk mempertingkatkan tindakan pencegahan pembakaran untuk mengelak kejadian seumpama berulang.

“Dalam tempoh itu, JAS mengeluarkan 236 arahan lapangan/amaran, 45 kompaun, 68 notis arahan dan satu tindakan mahkamah terhadap kesalahan melakukan pembakaran terbuka,” katanya. – Bernama, 26 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen