SIASATAN ke atas dakwaan parti dalam Perikatan Nasional (PN) mendapat sumbangan daripada dana judi tidak dihentikan, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said
Menteri hal ehwal undang-undang itu berkata demikian bagi menjawab kenyataan dari pemimpin PN yang menuntut Perdana Menteri Anwar Ibrahim memohon maaf atas tuduhan berkenaan.
Azalina menjelaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya menyatakan tiada kertas siasatan dibuka berkenaan kes tersebut namun tiada had masa untuk menyiasat
“SPRM hanya menyatakan bahawa tiada fail siasatan dibukan memandangkan maklumat yang telah diperoleh setakat ini bersifat umum,” katanya.
Tambahnya, SPRM setentunya akan menyiasat dan membuka fail siasatan sekiranya perlu berdasarkan maklumat dan bukti yang diperolehi.
“Undang-undang Malaysia tidak mempunyai had masa untuk memulakan sebarang tindakan atas kes jenayah,” katanya.
Azalina seterusnya menyeru semua pihak agar tidak mempolitikkan atau memutar belit kenyataan asalnya mengenai siasatan tersebut.
Beliau menjawab tuntutan PAS supaya Anwar memohon maaf kerana menuduh parti berkenaan selepas menerima dana daripada syarikat judi bagi membiayai kempen pilihan raya.
Tuntutan itu timbul selepas Azalina memberitahu Dewan Rakyat semalam bahawa SPRM tidak meneruskan siasatan ke atas isu itu selepas kajian terperinci.
Perdana menteri pada Disember dalam satu kenyataan membayangkan sebahagian dana pilihan raya parti parti PN berpunca daripada cabutan khas syarikat perjudian.
“Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.
“Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana (pilihan raya) datang dari syarikat judi,” katanya seperti dilaporkan pada waktu itu.
Walaupun tidak menamakan secara khusus pihak tersebut, Anwar mentakrifkannya sebagai parti Melayu dan Islam.
Anwar pada waktu itu juga membangkitkan tindakan pentadbiran PN menaikkan cabutan khas judi dari lapan kepada 22 kali setahun pada akhir 2020. – 26 Mei 2023.
Komen