Para ibu mohon program tuisyen percuma Pulau Pinang tidak dipolitikkan


Looi Sue-Chern

Penyelaras Penggerak Komuniti Muda (Peka), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir (kemeja-T Putih) berkata program Tuisyen Rakyat adalah satu agenda membangun masyarakat di Pulau Pinang bagi menempatkan anak-anak dari golongan berpendapatan rendah mengikuti kelas tambahan secara percuma dan berkualiti. – Gambar The Malaysian Insight, 22 Mac, 2018.

PROGRAM ‘Tuisyen Rakyat’ di Pulau Pinang tidak harus dipolitikkan kerana ia memberi kebaikan kepada pendidikan anak-anak, kata para ibu yang menyertai program tersebut.

Program yang dianjurkan oleh sebuah organisasi bukan kerajaan iaitu Penggerak Komuniti Muda (Peka) dikecam selepas tersebarnya video Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sedang menari dan menyanyi lagu anti GST pada hari pelancaran tahun keduanya Sabtu lalu.

“Tidak ada salahnya dengan program ini. Ia baik untuk anak-anak dan disokong oleh ibu bapa,” kata Zainora Zain, yang menghantar anaknya yang berusi 11 tahun ke program tuisyen itu.

“Program ini tidak ada kena mengena dengan politik, tapi ada sesetengah orang buat kecoh. Ada masalah apa sebenarnya dengan lagu GST itu?”

Video nyanyian dan tarian Lim itu mula tular sejak Sabtu lalu.

Lirik lagu itu bermula dengan “ABCD GST” dan kemudiannya disambung dengan harga barangan dan gaji selain rakyat terpaksa makan mee segera.

Lagu itu turut menyentuh tentang rakyat yang terpaksa membayar cukai GST disebabkan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Bagaimanapun, lagu itu tidak menyebut nama mana-mana parti atau pemimpin, malah kerajaan Persekutuan.

Siti Aisyah Salim, yang menghantar anak-anaknya di Tahun Empat dan Enam menghadiri kelas Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris berkata memandangkan kos sara hidup semakin tinggi, ibu bapa dari golongan berpendapatan rendah tidak mampu mennghantar anak-anak ke pusat tuisyen swasta.

“Apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri dengan memberi dana kepada program Tuisyen Rakyat ini bagus,” kata Siti pada sidang akhbar di Permatang Pasir hari ini.

Sementara itu, penyelaras Peka, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, berkata program tersebut adalah satu agenda membangun masyarakat di Pulau Pinang bagi menempatkan anak-anak dari golongan berpendapatan rendah mengikuti kelas tambahan secara percuma dan berkualiti.

Beliau menyelar pihak yang cuba merosakkan imej program itu, termasuk kumpulan pendidikan tertentu yang mahu ia dimansuhkan.

“Ingin saya jelaskan, Tuisyen Rakyat ini dijalankan kesinambungan siri satu tahun lalu yang telah berkembang dari hanya 3 Pusat Tuisyen Rakyat di 3 buah daerah sahaja. 

“Tetapi pada tahun ini ianya telah melebar sehingga ke setiap 5 daerah, dan apa yang lebih membanggakan, apabila sejak bermulanya siri kedua awal tahun ini sehingga Mac 2018, sebanyak 22 buah Pusat Tuisyen Rakyat telahpun beroperasi secara percuma! Dan jumlah ini dijangka bertambah!” kata Mohd Asyraf.  – 22 Mac, 2018.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen