Halim Saad nafi disiasat SPRM


Ahli perniagaan Halim Saad Beliau mengecam laporan media yang mengaitkannya dengan pembelian saham renong bernilai RM2.3 bilion. – Gambar Youtube, 25 Mei, 2023.

AHLI perniagaan Halim Saad menafikan beliau sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion berkaitan pembelian saham syarikat tersenarai oleh sebuah konglomerat Malaysia, 26 tahun lalu.

Halim, bekas pengerusi eksekutif Renong, berkata laporan mengenai beliau disiasat tidak benar dan menafikan dipanggil oleh agensi antirasuah itu.

“SPRM tidak memanggil saya untuk disoal siasat mengenai isu itu seperti spekulasi dalam media,” kata Halim dalam temu bual eksklusif dengan FMT Business.

Minggu lalu, media melaporkan SPRM sedang menyiasat seorang bekas menteri kanan dan seorang “Tan Sri” berhubung dakwaan penyelewengan dana negara.

Siasatan itu berkaitan dokumen yang didedahkan oleh Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasatan berhubung transaksi dijalankan di pusat kewangan luar pesisir.

Pegawai antirasuah berkata siasatan itu tertumpu kepada pembelian dan pemilikan saham syarikat tersenarai oleh sebuah syarikat gergasi.

Orang dalam SPRM berkata langkah itu didalangi oleh seorang bekas menteri kanan.

Halim tidak dinamakan oleh SPRM individu yang disiasat.

Dalam temu bual dengan portal berita itu, Halim mengecam mingguan perniagaan The Edge kerana mengaitkannya dengan pemerolehan saham bernilai RM2.3 bilion.

The Edge dalam laporan terbarunya mendakwa sumber SPRM mengesahkan transaksi itu melibatkan pembelian 32.6% kepentingan atau 722.9 juta saham dalam Renong Bhd oleh United Engineers (M) Bhd (UEM) pada harga RM2.3 bilion pada November 1997, ketika krisis kewangan Asia.

Halim berkata artikel itu mencetuskan spekulasi tidak berasas mengenainya dan menimbulkan pertikaian mengenai peranannya dalam pembelian saham Renong oleh UEM.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan siasatan di bawah Akta SPRM 2009 dan undang-undang pengubahan wang haram sedang berjalan.

Sumber itu juga berkata SPRM merekodkan kenyataan 14 saksi sejak beberapa minggu lalu berhubung dokumen dalam kebocoran Kertas Pandora. – 25 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen