Kementerian komited selesai masalah air di Kelantan, kata Nik Nazmi


Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan mengadakan perbincangan susulan dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi untuk mencari penyelesaian terbaik isu air di Kelantan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mei, 2023.

KEMENTERIAN Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) bersedia melihat soal kewangan termasuk untuk pembinaan loji rawatan air serta penggantian paip bagi menyelesaikan isu air di Kelantan.

Menteri berkenaan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ia susulan pendirian Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini yang secara terbuka menyatakan komitmen kerajaan pusat untuk menyelesaikan isu itu.

“NRECC juga akan mengadakan perbincangan susulan dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi untuk mencari penyelesaian terbaik bersama,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu susulan pertemuan beliau dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan Azami Mohd Nor serta pengurusan tertinggi Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembetungan) NRECC Dr Ching Thoo Kim, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Ahmad Faizal Abdul Rahman serta pegawai kementerian.

Menurut Nik Nazmi, antara isu dibincangkan ketika pertemuan itu ialah berkaitan pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Machang yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 dan cadangan pembangunan infrastruktur bekalan air bagi TAPS yang akan dibina.

“Perkara berkaitan pelaksanaan program pengurangan Air Tidak Berhasil (NRW) melalui penggantian paip-paip usang dan hapus kira pinjaman projek bekalan air luar bandar selari dengan Perjanjian Penstrukturan Industri Perkhidmatan Air Negeri Kelantan juga turut dibincangkan.

“Turut disentuh adalah berhubung perizaban tanah loji pembetungan kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dan hapus kira baki pinjaman projek pembetungan kepada geran,” katanya.

Dalam pertemuan itu beliau turut mengingatkan kerajaan negeri bahawa tanpa usaha membaiki tatakelola AKSB, permasalahan air tidak akan selesai dan oleh yang demikian, AKSB harus memperbetul tadbir urus mereka agar ia memberi manfaat kepada rakyat Kelantan.

Pada 11 Mei lepas Nik Nazmi pernah mendedahkan kaedah tadbir urus AKSB menjadi faktor utama masalah air di Kelantan tidak selesai sehingga kini selain disebabkan soal peruntukan dan perkara itu diakui serta dimaklumkan oleh bekas Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man. – Bernama, 24 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen