Gandakan pembelajaran jika mahu sekolah bermula Januari, kata kumpulan ibu bapa


Ravin Palanisamy

Pada Selasa Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata tahun akademik persekolahan akan dibuka pada Januari mulai 2026 bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan secara optimum. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2023.

IBU bapa, guru dan pelajar perlu mengorbankan masa atau menggandakan pembelajaran di sekolah jika ingin memulakan semula tahun akademik pada Januari sebelum 2026, kata Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Kebangsaan Mohamad Ali Hasan.

Beliau berkata demikian selepas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan tahun akademik hanya akan bermula pada Januari 2026. 

Sehingga itu tahun persekolahan akan bermula pada Mac untuk 2024, manakala sesi 2025 akan bermula pada Februari.

“Melainkan penduduk atau ibu bapa, pelajar dan guru boleh mengorbankan masa mereka dan mungkin menggandakan pembelajaran mereka, maka ia (permulaan tahun akademik) boleh dipendekkan (dibawa ke Januari lebih awal daripada yang dijadualkan).

“(Tetapi) saya tidak fikir mereka akan bersetuju dengan cadangan itu,” kata Ali kepada The Malaysian Insight.

Beliau menjawab pertanyaan ibu bapa yang ingin tahu alasan kementerian tidak dapat mengembalikan permulaan tahun persekolahan kepada Januari tahun depan atau tahun berikutnya.

Pada Selasa Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata tahun akademik persekolahan akan dibuka pada Januari mulai 2026 bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan secara optimum sepanjang tahun akademik yang berlangsung antara 32 dan 36 minggu.

Peraturan-Peraturan Pendidikan (Hari Penggal Persekolahan Dan Cuti) 1998 yang menyatakan tempoh persekolahan tidak boleh kurang daripada 190 hari dipertimbangkan semasa memutuskan langkah itu, tambah kementerian itu dalam satu kenyataan berasingan.

Daripada hanya membuat pengumuman di Parlimen dan mengeluarkan kenyataan Ali berkata kementerian juga sepatutnya mengeluarkan pekeliling kepada ibu bapa bagi menjelaskan keputusan itu.

“Kementerian sepatutnya menjelaskan mengapa mereka perlu menunggu sehingga 2026,” tambahnya.

Ali juga berpendapat perkara itu tidak boleh dipolitikkan.

Permulaan tahun akademik tidak penting

Dalam pada itu Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim berkata permulaan tahun akademik sekolah tidak seharusnya diberi kepentingan semata-mata atau diutamakan.

Dia menyatakan kebimbangannya terhadap kemajuan akademik dan sosial yang sangat terganggu sejak beberapa tahun lalu disebabkan oleh wabak Covid-19 yang belum pernah berlaku sebelum ini.

“Ia adalah sama ada pelajar mampu atau tidak mencapai tahap pendidikan yang diharapkan sebelum selepas Covid.

“Kami bimbang sejak sekolah dibuka semula, kehilangan pembelajaran tidak dapat ditangani dengan sewajarnya,” katanya.

Sekolah ditutup untuk tempoh yang lama semasa pandemik Covid-19 di mana kebanyakannya menyesuaikan diri dengan pembelajaran di rumah.

Ramai yang bergelut dengan pembelajaran di rumah kerana kekurangan peranti dan sambungan Internet di rumah menyebabkan mereka mengalami “kehilangan pembelajaran”. – 25 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen