KWSP peroleh RM46 juta jual 6 aset runcit, kata Ahmad Maslan


Ravin Palanisamy

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperoleh keuntungan sebanyak RM46 juta dengan menjual enam aset peruncitannya di Lembah Klang dan Johor, kata Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan kepada Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, enam aset itu yang kini dipajak kepada pasar raya peruncitan Giant, diambil alih oleh Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT).

“Aset peruncitan yang dijual kepada Sunway REIT ialah Giant Hypermarket Bandar Kinrara, Giant Hypermarket Putra Heights, Giant Hypermarket Subang Jaya, USJ, Giant Hypermarket Klang, Giant Hypermarket Ulu Klang dan Giant Hypermarket di Plentong, Johor,” katanya kepada Parlimen hari ini.

Sebanyak 15.24% dalam Sunway REIT dimiliki oleh KWSP, katanya.

Beliau menjawab soalan Ahmad Amzad Mohamed (Kuala Terengganu-PN) yang bertanya jumlah hasil yang diperoleh daripada penjualan enam aset peruncitannya di Lembah Klang dan Johor.

Dilaporkan Sunway REIT memperoleh enam hartanah ini daripada KWSP pada harga RM520 juta.

Ahmad dalam pada itu berkata KWSP merancang menjual satu lagi aset runcitnya di Kelana Jaya, Selangor kepada syarikat berkaitan kerajaan, tetapi tidak mendedahkan butiran lanjut.

Menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (Tebrau-PH) mengenai pengurusan aset KWSP dan proses pelaburannya, Ahmad berkata saiz jumlah aset KWSP melebihi RM1 trilion, menjadikan ia agensi terkaya di negara ini.

Beliau juga berkata mereka sentiasa mencari jalan untuk mengembangkan portfolio pelaburan.

“Buat masa ini, instrumen pendapatan tetap adalah yang paling banyak dengan 45.5%, diikuti ekuiti yang disenaraikan di bursa saham Bursa pada 42.5%, aset sebenar (6%), ekuiti persendirian (3%), instrumen pasaran wang (3%) antara yang lain,” katanya.

“Bagi pelaburan asing pula, 34% daripada jumlah itu berada di luar negara dan selebihnya dalam negara.

“Terdapat dua jenis pelaburan – pelaburan hartanah domestik dan asing.

“(Pelaburan) dalam negara ialah RM11 bilion, antaranya bangunan KWSP termasuk ibu pejabat dan pejabatnya di pelbagai negeri.

“Dan terdapat juga hartanah KWSP di luar negara berjumlah RM30 bilion, separuh daripadanya di United Kingdom, dengan yang terbesar ialah Battersea (Stesen Janakuasa). Projek itu sudah siap dan menjadi ikonik di sana.

“Setakat ini kita cukup menjaga kesemua pelaburan ini,” tambahnya. – 24 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen