TERDAPAT kira-kira RM11.2 bilion wang tidak dituntut milik orang ramai yang kini berada di bawah pengurusan Jabatan Akauntan Negara (JANM), kata Ahmad Maslan kepada Parlimen hari ini.
Timbalan menteri kewangan berkata 70% daripada jumlah itu adalah daripada akaun bank yang tidak aktif selama tujuh tahun atau lebih, yang menurut Ahmad dihantar ke JANM.
“Sehingga 23 Mei, kami sudah membayar balik keseluruhan RM3.3 bilion,” kata ahli Parlimen Pontian itu kepada Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Fong Kui Lun (Bukit Bintang-PH), yang meminta menyatakan jumlah wang tidak dituntut terkumpul dan cadangan bagaimana menggunakan wang itu untuk pembangunan negara.
Ahmad menggesa orang ramai menyemak sama ada mempunyai wang tidak dituntut dan menuntutnya daripada Jabatan Akauntan Negara jika ada.
“Sesiapa yang ingin menuntutnya, sila layari www.anm.gov.my dan pergi ke halaman e-GUMIS untuk mengemukakan tuntutan anda di sana.
“Sekiranya semua dokumen yang diperlukan lengkap dan diserahkan sewajarnya, maka wang tersebut akan dikembalikan dalam tempoh 14 hingga 30 hari,” katanya.
Ahmad berkata sejumlah RM10 bilion daripada wang tidak dituntut itu dilaburkan kerajaan dalam simpanan tetap.
“Daripada RM10 bilion dalam simpanan tetap, kita mendapat faedah RM250 juta setiap tahun dan dana itu digunakan untuk pembangunan dan juga membantu rakyat,” katanya.
Fong menerusi soalan tambahannya mencadangkan faedah diperoleh mungkin boleh digunakan sebagai tabung biasiswa pendidikan untuk membantu pelajar yang layak tetapi tidak mempunyai sumber kewangan, yang menurut Ahmad boleh diberi pertimbangan.
Wang tidak dituntut adalah duit terkumpul yang perlu dibayar secara sah kepada pemilik tetapi tertangguh untuk tempoh tidak kurang daripada setahun; wang yang dikredit dalam akaun dagangan tidak aktif untuk tempoh tidak kurang dua tahun; dan wang dalam akaun bank yang tidak beroperasi dalam apa cara sekalipun oleh pemilik untuk tempoh tidak kurang daripada tujuh tahun. – 24 Mei, 2023.
Komen