Kerajaan tidak stabil tanpa tunjang parti Melayu, kata penganalisis


Mohd Farhan Darwis

Anggaran penduduk semasa Malaysia pada Julai 2022 menunjukkan orang Melayu berjumlah 57.7%, Cina 22.8%, Bumiputera 12.2% sementara India 6.6%. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mei, 2023.

TANPA tunjang sebuah parti Melayu, pentadbiran kerajaan tidak akan stabil kerana majoriti penduduk di negara ini terdiri daripada orang Melayu, kata penganalisis politik tanah air.

Anggaran penduduk semasa Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan pada Julai 2022 menunjukkan orang Melayu berjumlah 57.7%, Cina 22.8%, Bumiputera 12.2% sementara India 6.6%.

Statistik itu juga menunjukkan peningkatan jumlah penduduk Bumiputera sementara penduduk Cina dan India menurun.

Penganalisis politik mengakui Umno yang menjadi tunjang kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini membantu memberikan kestabilan kepada pentadbiran kerajaan namun parti itu semakin kehilangan sokongan orang Melayu, termasuk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.

Aktivis politik dan penulis Hishamuddin Rais berpendapat tanpa tunjang parti Melayu dalam gabungan yang membentuk kerajaan di Malaysia, sesebuah pentadbiran itu akan terumbang-ambing.

“Dalam politik hari ini, kerajaan ini tak stabil dan terumbang-ambing tak tentu hala (tanpa tunjang) jadi perlunya parti Melayu yang menjadi tunjang atau ‘hegemon’.

“Kalau dahulu tunjangnya Umno, sama ada dia baik atau buruk, itu persoalan lain. Sekarang tidak ada lagi, sudah runtuh sejak PRU14, sebab itu dia (kerajaan) terumbang-ambing,” kata Hishamuddin.

Keadaan itu katanya akan berterusan sehingga wujudnya sebuah parti politik Melayu baharu yang mampu menjadi tunjang dalam kerajaan.

Jelas Hishamuddin, parti tunjang itu penting kerana ia menentukan garis hala tuju politik tanah air.

“Parti tunjang perlu dalam pentadbiran negara, di Tanah Melayu tunjangnya orang Melayu, ini hakikat. Tunjang inilah yang menjadi definisi menentukan gerak dan garis hala tuju politik negara. Orang Melayu akan memastikan hala tuju politik negara.

“Parti yang menjadi teras, tunjang, atau hegemon yang wajib diadakan adalah sebuah parti Melayu, ini hakikat persejarahan pada ketika ini.

“Kita perlukan tunjang ini untuk bimbing negara ini,” katanya dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Populariti Umno, yang menjadi tunjang kepada kerajaan sebelum ini, terus merosot dalam setiap pilihan raya umum sejak 2008, sehinggalah yang terakhir dalam PRU15 pada November 2022.

Dalam PRU15, Umno hanya menang 26 kerusi Parlimen daripada 30 kerusi yang dimenangi oleh BN daripada keseluruhan 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Sebagai perbandingan, pada PRU11 pada 2004, BN menang 198 kerusi Parlimen dengan Umno menguasai 109 kerusi.

Pada PRU12 pada 2008, Umno hanya menang 79 kerusi sementara BN yang menang keseluruhan 140 kerusi juga buat pertama kali hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat sejak 1969.

Prestasi BN kemudiannya terus menurun pada PRU13 pada 2013 apabila hanya mampu menang di 133 kerusi dengan Umno menang 88 kerusi.

PRU14 kemudiannya menyaksikan BN hilang kuasa buat pertama kali sebagai kerajaan kepada Pakatan Harapan (PH) dengan sekadar mendapat 79 kerusi, manakala Umno pula sekadar mendapat 54 kerusi.

Hishamuddin tidak menolak isu skandal dan salah guna kuasa yang memberi imej buruk kepada parti sebagai antara punca menurunnya sokongan Melayu kepada Umno dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya.

Beliau menyebut beberapa pemimpin Umno terpalit dengan pelbagai skandal mega, termasuk bekas presidennya Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara di mahkamah.

Hishamuddin Rais berpendapat tanpa tunjang parti Melayu dalam gabungan yang membentuk kerajaan, sesebuah pentadbiran itu akan terumbang-ambing. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 24 Mei, 2023.

Umno juga katanya berdepan pergelutan politik dalaman sehingga beberapa pemimpin yang dilihat tidak selari dengan pucuk pimpinan disingkirkan selepas PRU15, membuatkan orang Melayu semakin menjarakkan diri daripada parti itu.

Selepas PRU15, PH membentuk kerajaan perpaduan bersama BN dan parti di Sabah dan Sarawak.

Gabungan itu bagaimanapun dilihat tidak mempunyai dukungan majoriti Melayu yang kini dikuasai pembangkang Bersatu dan PAS dalam Perikatan Nasional (PN).

“Parti tunjang atau ‘hegemon’ itu perlu, PH tidak memiliki sokongan Melayu, (sokongan Melayu) mungkin antara 10% hingga 15%.

“Ini tidak menjamin kestabilan kerajaan, sebab Melayu yang lari daripada Umno pergi kepada Bersatu dan PAS. Melayu dah kehilangan punca,” kata Hishamuddin.

Disebabkan itu katanya, pertandingan mendapatkan sokongan ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan daripada mana-mana pihak akan terus berlarutan.

“Seperti berlaku kepada pentadbiran Muhyiddin Yassin, Ismail Sabri Yaakob dan sekarang Anwar Ibrahim, dahulunya yang selalu bising ada cukup bilang (untuk bentuk kerajaan) adalah Anwar, sekarang musuh Anwar pula… dah terbalik,” katanya.

Kerajaan perpaduan pimpinan Anwar hari ini terdiri daripada 19 parti politik dengan 148 ahli Parlimen, berbanding 74 ahli Parlimen menyokong PN.

Seramai 77 ahli Parlimen kerajaan pula adalah Bumiputera beragama Islam, manakala 16 Bumiputera bukan Islam, Cina seramai 43, manakala 12 ahli Parlimen etnik India.

Katanya, walaupun ada beberapa parti selain Umno yang berteraskan Melayu dan Islam, masih belum kelihatan ada pihak yang mampu memainkan peranan seperti Umno suatu ketika dahulu sebagai parti tunjang dalam gabungan politik.

Hishamuddin berkata, Umno hari ini juga dilihat sukar untuk kembali kepada kedudukan berkenaan disebabkan parti itu begitu rosak.

“Umno sama ada boleh kembali menjadi tunjang atau tidak, saya tak tahu, tapi mereka ada sejarah yang bobrok dan haprak, macam-macam kes, sepatutnya peranan itu dimainkan Bersatu tetapi mereka baharu dan tidak tersusun secara organisasi, pemimpinnya juga bekas pemimpin Umno.

“PAS boleh jadi parti besar, kalau garisan ke tengah, orang sekarang takut kepada PAS bukan kepada Islam sebab PAS ganggu cara hidup di Malaysia, mereka selalu berbincang hal sesudah mati sedangkan kita nak bincang soal kehidupan,” katanya.

Malah, terdapat juga orang Melayu katanya yang menolak PAS.

“Ada Melayu rasa geli, takut dan tidak berani, cuak dengan PN kerana PAS… PAS ini DAP Melayu, DAP ini pula PAS Cina,” katanya.

Manakala dalam gabungan PH pula, Amanah katanya dilihat berpotensi menjadi parti tunjang sekiranya meletakkan garis Islam demokrat yang betul.

“Amanah satu parti baharu, saya melihat Amanah satu parti masa depan tapi harus bawa garis politik Islam demokrat. Ini memerlukan pertembungan fikiran yang bagus tetapi pada tahap ini saya tidak nampak, saya lihat potensi Amanah untuk jadi parti tunjang.

“Ada Islam ada Melayu, ke kanan tak sekanan PAS, tapi ada garis demokrat,” katanya.

Namun begitu, setakat ini katanya tiada parti dan pemimpin politik yang mampu merealisasikan perkara itu.

“Seorang pemimpin parti politik yang fikir garis baru dia akan dapat sokongan rakyat, harus gunakan fikiran keintelektualan itu, harus berfikir luas.

“Saya tak kata PKR, Bersatu, PAS, mereka ini tak mampu tapi saya belum lihat mereka lakukan itu, masih kitar semula idea lama,” jelasnya.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata jika berdasarkan keputusan PRU15 Umno bukan lagi tunjang orang Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mei, 2023.

Sementara itu, penganalisis Ilham Centre pula berpandangan, Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bakal menjadi petunjuk jelas sama ada Umno benar-benar hilang sokongan orang Melayu atau kehilangan itu bersifat sementara.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata, ketika PRU15, penolakan itu mungkin berpunca daripada faktor sabotaj dari dalam parti itu sendiri, selain keupayaan besar-besaran PN dalam kempen mereka.

“PN dilihat terampil dengan kempen agresif, jenteranya, memang kena pada masa itu menyebabkan kelompok atas pagar melihat Umno dah tak boleh harap jadi mereka beralih.

“Pengundi Umno kekal, tak lari jauh pencapaian PRU14 dan PRU15, cumanya Umno dan BN tak dapat pertambahan undi baharu. Kelompok atas pagar yang bukan ahli parti mungkin mereka pertimbang boleh sokong Umno, tapi perang psikologi dimenangi PN mengalih sokongan kelompok berhayun ini memberi sokongan kepada PN.

“Kalau berdasarkan keputusan PRU15 Umno bukan lagi tunjang orang Melayu, cuma kita tidak tahu adakah ia bersifat kekal atau sementara peralihan kepada PN,” katanya.

Beban itu katanya terletak di bahu Umno untuk membuktikan mereka mampu menarik kembali kumpulan itu lebih-lebih lagi dengan kelebihan mereka berada dalam blok kerajaan.

“Kumpulan yang tidak selari dengan pucuk pimpinan dahulu sudah dibersihkan selepas pemilihan Umno baru-baru ini. Bila Umno jadi kerajaan sudah tentu kempen perkauman dan agama tidak lagi berulang.

“Kekuatan Umno akan teruji dengan PRN kali ini, referendum Melayu akan dilihat dalam enam negeri ini sama ada Melayu kembali sokong BN dan Umno atau pola itu sudah beralih kepada PN,” tegasnya.

Walaupun bilangan ahli Parlimen Melayu dan beragama Islam membentuk sebahagian besar daripada wakil rakyat kerajaan, pertembungan akan berlaku disebabkan kelompok terbesar rakyat Melayu kini berada di dalam garis pembangkang.

Keadaan itu katanya akan mewujudkan tekanan psikologi kepada orang Melayu, yang membentuk majoriti daripada lebih 30 juta rakyat di negara ini.

“Isu yang berlaku, seperti kalimah Allah, isu berkait ekonomi pembangkang bangkitkan isu itu akan disambut orang Melayu sebab psikologinya mereka mewakili segmen terbesar dalam komposisi Melayu.

“Jadi kerajaan ini memang agak berusaha keras untuk meyakinkan pengundi Melayu dalam dasar yang mereka kemukakan,” katanya.

Katanya, PRN itu juga bakal membuktikan sejauh mana pengundi Melayu mampu menerima kerjasama PH dan BN, khususnya ahli Umno sendiri.

“Sinergi antara PH dan BN diharapkan diterima segmen pengundi Melayu, ataupun rakyat majoriti Melayu boleh terima formula ini.

“Kalau Melayu masih skeptikal dan tak dapat terima pembentukan kerajaan ini, bagi parti diwakili Umno, itu akan memberikan satu masalah kepada kestabilan kerajaan sebab mereka memang akan bergantung kerusi majoriti Cina dan kerusi bercampur,” katanya.

Kajian Ilham Centre pada Mac 2023 pula katanya menunjukkan ahli Umno masih sukar memberikan jawapan sama ada mereka akan mengundi Umno, sedangkan pengundi PH pula menyatakan sebaliknya.

“Perpindahan undi BN kepada PH ini jadi tanda tanya, nampak sukar mereka beri undi andai kata kerusi itu ditandingi PH dan orang Umno nak turun mengundi, agak sukar mereka nyatakan kepada kami sama ada akan undi calon PH atas faktor adanya DAP dan Anwar.

“Tapi bagi penyokong PH, di kerusi ditandingi BN orang PH boleh berikan kenyataan mereka boleh undi calon BN atas faktor mereka tak boleh terima PN yang adanya PAS, antara alasan itu mereka lebih menerima untuk mengundi Umno,” jelas Hisommudin.

Hisommudin bagaimanapun berkata, Umno dan BN harus merangka pelan strategi baharu bagi PRU16 sekiranya pola sama berulang di PRN nanti.

“Solusinya yang kita lihat memang kalau ikut strategi PH ingin melihat Umno pulih kembali sokongan kepada Melayu kerana dalam PH tiada yang boleh tarik sokongan Melayu, Amanah dan PKR itu bukan parti bercitra Melayu.

“Itu masalah yang akan berterusan dihadapi PH. Maka apabila mereka bergabung dalam kerajaan perpaduan, BN bawa 30 kerusi termasuk MCA dan MIC, kebergantungan undi Melayu hanya diharapkan kepada Umno,” katanya. – 24 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen