Serbu kedai pamer jam tangan LGBT akan sisihkan Malaysia, kata kumpulan


Alfian Z.M. Tahir

Kumpulan LGBT tempatan menyifatkan tindakan kerajaan merampas jam dikaitkan dengan kumpulan itu menunjukkan sikap tidak bertoleransi terhadap kepelbagaian seksual dan mendedahkan individu LGBT. – Gambar laman web Swatch, 23 Mei, 2023.

SERBUAN yang dijalankan oleh Kementerian Dalam Negeri ke atas sebuah premis Swatch baru-baru ini kerana mempamerkan jam tangan Pride Collection yang dikaitkan dengan kumpulan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) akan mengasingkan Malaysia daripada mata dunia, kata kumpulan LGBT tempatan. 

Mereka juga menyifatkan tindakan kerajaan itu menunjukkan sikap tidak bertoleransi terhadap kepelbagaian seksual dan mendedahkan individu LGBT kepada lebih banyak diskriminasi dan bahaya.

Dalam operasi yang dijalankan pada 13 dan 14 Mei lalu jam tangan itu turut dirampas daripada cawangan Swatch di Pavilion Kuala Lumpur, 1 Utama, Sunway Pyramid, Setia City Mall, Mid Valley Megamall, Southkey, Sunway Putra Mall, Sogo KL, Queensbay, Fahrenheit 88 dan Suria Sabah manakala kedai di KTCC (Terengganu), Aeon KB, Aman Central Kedah, City Square dan Viva City Kuching turut dikeluarkan notis amaran.

Timbalan Presiden Jaringan Kebajikan Komuniti (Jejaka) Dhia Rezki Rohaizad berkata pihaknya kecewa dengan tindakan itu dan mempersoalkan kesahihan serbuan serta rampasan itu.

“Tindakan itu mendedahkan tahap sikap tidak bertolak ansur. Ia lebih daripada soal jam tangan berwarna-warni; ia mengenai menghormati kepelbagaian, kebebasan bersuara, dan yang paling penting, cinta.

“Kita harus ingat masyarakat yang lebih menerima bermula dengan menerima semua warna pelangi. Masing-masing mewakili cerita yang berbeza, perjuangan yang berbeza, dan kemenangan yang berbeza,” katanya.

Dhia menambah sebagai jenama antarabangsa Swatch berhak untuk menjual koleksinya tanpa rasa takut campur tangan kerajaan selagi produk ini tidak menyalahi undang-undang atau berbahaya.

“Dalam dunia yang penuh warna adalah memalukan kita masih perlu memperjuangkan hak untuk menjadi diri kita sendiri. Sudah tiba masanya kita berusaha untuk memahami, bukan hanya toleransi. Dan yang paling penting, sudah tiba masanya kita meraikan perbezaan kita dan bukannya menghukum mereka.

“Sebagai masyarakat, kita perlu bertanya kepada diri sendiri: Apakah jenis mesej yang kita hantar apabila pelangi, simbol harapan sejagat, menjadi kontroversi?,” katanya.

Dhia juga menggesa Putrajaya untuk menggalakkan budaya penerimaan dan persefahaman daripada penindasan dan diskriminasi dalam masa sukar ini.

Susulan serbuan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swatch Nick Hayek Jr berkata jenama itu secara konsisten menghasilkan jam tangan berwarna-warni untuk mewakili kepelbagaian dan meraikan orang ramai dari semua lapisan masyarakat.

“Swatch berbangga kerana menjadi kanvas di pergelangan tangan untuk semua orang di seluruh dunia dan ramai artis yang bekerja dengan kami. Kreativiti dan warna yang digandingkan dengan kualiti buatan Switzerland adalah perkara yang kami gemari. Kami bertegas bahawa koleksi jam tangan kami menggunakan warna pelangi dan mempunyai mesej keamanan dan cinta boleh membahayakan sesiapa sahaja,” kata Nick. – 23 Mei 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen