Tidak seperti pembangkang, BN fokus untuk majukan Sabah, kata Najib 


Jason Santos

Perdana Menyeri Najib Razak turut berjanji lebih banyak inisiatif dan projek pembangunan akan dilaksanakan di Sabah sekiranya kerajaan BN diberi mandat baharu pada Pilihan Raya Umum ke 14.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2018. 

MENJELANG Pilihan Raya Umum ke 14, Perdana Menteri Najib Razak berkata kerajaan Barisan Nasional membawa “perubahan besar” kepada rakyat namun pembangkang hanya menumpukan kepada untuk menghasut dengan kebencian

“Kita bukan kerajaan yang hanya pandai menabur janji tetapi tidak tunaikan. Kita bukan kerajaan yang menghasut rakyat. Itulah pembangkang,” kata Najib di pekan Tuaran, Sabah. 

“Kerajaan Barisan Nasional membawa perubahan positif. Inisiatif BN membina asas bagi negara untuk mencapai tahap yang lebih tinggi. “  

Najib berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak pembinaan jalan Telipok-Kiulu-Randagong hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Musa Aman, Menteri Sains dan Teknologi yang juga Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau dan menteri kabinet negeri.

Najib turut menyelar pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad, dan menyatakan beliau memegang jawatan sebagai perdana menteri selama 22 tahun tetapi tidak pernah meluluskan projek berkenaan. 

“Ini menunjukkan pemimpin pembangkang tidak peduli rakyat Kiulu ketika menjadi perdana menteri. Dan sekarang beliau mahu jadi perdana menteri lagi,” kata Najib, dan menambah tiada perdana menteri yang kerap ke Sabah berbanding dirinya. 

Najib turut berjanji lebih banyak inisiatif dan projek pembangunan akan dilaksanakan di Sabah sekiranya kerajaan BN diberi mandat baharu pada Pilihan Raya Umum ke 14. 

“Saya nak beri tawaran kepada kamu, sekiranya kamu mahu saya datang lagi ke Kiulu, tolong undi calon BN untuk Parlimen Tuaran dan tiga kerusi negeri,” katanya.

Naib berkata, projek yang sedang dilaksanakan seperti Lebuhraya Pan Borneo bernilai RM18 bilion, peruntukan untuk tinjauan sempadan dan juga jalan raya Telipok-Randagong sejauh 60 kilometer di Sabah hanya sebahagian daripada inisiatif BN yang mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat tempatan. 

Katanya jalan Telipok-Kiulu-Randagong bernilai RM288 juta yang akan menghubungkan Kiulu dan pekan Nabalu, yang sering menerima kunjungan pelancong yang menghala ke Pantai Timur. 

Jalan raya itu akan membolehkan petani di kawasan Telipok dan Kiulu menjual hasil mereka seperti di pekan Nabalu dan Kundasang yang merupakan 30% sumber bekalan sayur-sayuran Sabah, serta meningkatkan aktivitii pelancongan tempatan yang dijalankan di kawasan itu. 

Najjib berkata pembinaan jalan berkenaan adalah 20% daripada yang dijadualkan dan kini hampir 60% siap, dan menambah beliau menjangkakan jalan berkenaan akan mula dibuka pada 31 Mac tahun depan. 

Projek jalan raya berkenaan dicadangkan pada Rancangan Malaysia Ketujuh (1986-1990) tetapi hanya diluluskan Najib selepas projek tu dibangkitkan semula pada tahun 2000. – 22 Mac, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen