PUTRAJAYA memutuskan menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung penggunaan kalimah “Allah” kerana berasa dasar semasa adalah lemah dan bercanggah, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata kerajaan menarik balik kes itu supaya ia dapat menambah baik dasar, agar tiada ruang perkara seperti itu dibawa ke mahkamah pada masa akan datang.
“Peguam Negara (AG) berasa kes itu lemah kerana dasar dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri (pada 1986).
“Jadi keputusan (menarik balik kes) adalah berdasarkan pendapat AG dan selepas merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong, dan adalah untuk menambah baik dan memperkemas (dasar).
“Jika tidak, kes itu akan timbul semula kerana terdapat percanggahan (kepada dasar). Jadi atas sebab itu, kita tarik balik (kes) untuk meminda semua dasar ‘lemah’ supaya jelas tidak ada kes yang boleh dibawa ke mahkamah (pada masa hadapan)
“Semua dasar, termasuk peraturan KDN, yang kelihatan lemah dan memberi ruang untuk dicabar ke mahkamah, akan dibatalkan dan ditarik balik,” kata ahli Parlimen Tambun itu di Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Takiyuddin Hassan (Kota Baru-PN), yang bertanya mengapa pentadbiran semasa memutuskan menarik balik kes itu sedangkan pentadbiran terdahulu mahu merayu keputusan Mahkamah Tinggi. – 23 Mei, 2023.
Berita penuh di sini
Komen