Fadhlina abaikan isu pendidikan negeri, kata menteri Sarawak


Desmond Davidson

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Roland Sagah kecewa apabila Fadhlina Sidek kerana enggan bertemu beliau bagi membincangkan isu-isu mendesak berkaitan pendidikan di negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mei 2023. 

MENTERI Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Roland Sagah membidas rakan sejawatannya dari persekutuan Fadhlina Sidek kerana enggan bertemu beliau dan pegawainya untuk membincangkan isu-isu mendesak berkaitan pendidikan di negeri itu.

Sagah juga menuduh Fadhlina tiada bersikap profesional apabila tidak menjemput sesiapa daripada kementeriannya semasa lawatannya ke Sarawak baru-baru ini.

“Itu hanya memburukkan lagi keadaan,” katanya kepada DUN hari ini.

Beliau juga tidak menyangka lawatan itu memberi manfaat kepada negeri ini.

Beliau memberitahu lawatan itu diatur dengan cara yang hanya sekolah yang baik dilawati manakala sekolah lain yang mempunyai isu-isu mendesak dibiarkan tanpa pengawasan.

“Saya terkilan kerana permintaan kami untuk mengadakan pertemuan dengan menteri berkenaan tidak berjaya,” katanya.

Beliau berkata antara isu yang dirancang untuk dibangkitkan kepada menteri ialah sekolah usang yang merupakan subjek paling popular dalam kalangan Adun dan kekosongan jawatan guru besar yang tidak diisi.

“Tanggungjawab utama kementerian saya hanyalah untuk menangani isu sekolah usang.

“Biar saya tegaskan di sini bahawa kuasa untuk menyelia perkara ini masih terletak pada Kementerian Pendidikan persekutuan dengan Jabatan Kerja Raya Sarawak sebagai agensi pelaksana,” katanya.

Mengenai isu kekosongan jawatan guru besar yang tidak diisi di sekolah-sekolah di negeri ini Sagah berkata keputusan untuk hanya melantik guru yang mendapat persijilan Kelayakan Profesional Kepimpinan Eksekutif Kebangsaan (NPQEL) menjadi punca masalah itu.

NPQEL hanya dianugerahkan oleh Institut Aminuddin Baki (IAB).

Sagah berkata syarat baharu ini yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan persekutuan menyebabkan kelewatan yang tidak wajar dalam penggantian dan pelantikan guru besar serta pengetua baharu.

Beliau berkata dalam amalan sebelum ini Jabatan Pendidikan negeri mempunyai kuasa untuk melantik guru yang sesuai dan berkelayakan sebagai guru besar serta pengetua.

“Kini semua pihak berkuasa ini termasuk pelantikan untuk memangku jawatan guru besar dan pengetua berpusat di Kementerian Pendidikan dan Jabatan Perkhidmatan Awam persekutuan. Di sebalik hasrat murni kementerian persekutuan untuk meningkatkan kualiti pemimpin sekolah, ini secara tidak sengaja melambatkan keseluruhan proses pelantikan dan penggantian guru besar dan pengetua,” katanya.

Sagah berkata adalah tidak wajar Kementerian Pendidikan persekutuan membenarkan perkara ini berlaku di institusi penting masyarakat itu.

Mengenai tuntutan Sarawak untuk autonomi pendidikan, Sagah berkata ia hanya terhad kepada apa yang dinyatakan dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), 1962.

Beliau berkata laporan IGC tidak memberikan autonomi penuh pendidikan kepada Sarawak.

Sebaliknya Sagah berkata “ia menetapkan syarat” bagi negeri itu mengenai penggunaan bahasa Inggeris dan Melayu, pendidikan agama dan kedudukan istimewa orang asli.

“Ia juga mengesahkan keperluan untuk Pengarah Pendidikan Sarawak berunding dan mendapatkan nasihat daripada kerajaan negeri,” katanya.

Sagah berkata kementeriannya sedang bekerja dalam Jawatankuasa MA63 untuk meneruskan perkara itu secara berterusan. – 22 Mei 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen