Lawan dan kawan – 'untold story' politik Malaysia


G Manimaran

MINGGU ini genap enam bulan Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri Malaysia, pemimpin yang ke-10 diangkat ke jawatan tertinggi dalam kerajaan.

Satu pelantikan selepas penantian selama suku abad, sejak dipecat sebagai orang nombor dua dalam Umno, Barisan Nasional (BN) dan juga dalam kerajaan sebagai timbalan perdana menteri pada 2 September, 1998.

Dua hari sebelum itu beliau dan bekas ketuanya, Dr Mahathir Mohamad berdiri sebelah-menyebelah ketika sambutan Hari Kebangsaan di Pulau Pinang, negeri kelahiran Anwar. Satu gambar yang tersiar dalam media membawa mesej tersendiri. Mesej yang menggambarkan keretakan hubungan kedua-dua pemimpin itu sudah tidak dapat dielakkan.

Saya masih ingat kata-kata terakhir Anwar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang bersidang pada sebelah malam, beberapa jam selepas pemecatan beliau sebagai timbalan perdana menteri, yang antara lain membincangkan dengan mendalam nasib beliau sebagai timbalan presiden parti.

Ketika bercakap kepada media selepas meninggalkan bilik mesyuarat di pertengahan jalan di Menara Dato’ Onn, beliau dengan ringkas berkata, “saya sudah tidak ada apa-apa urusan lagi di sini (Umno).”

Secara tidak langsung beliau menyampaikan mesej beliau dipecat, sebagaimana dijangkakan, dan beliau sudah tiada tempat dalam parti dominan dalam BN itu.

Rekod sejarah akan membuktikan apa yang berlaku selepas itu.

Susulan ujian, dugaan dan cabaran di sebalik siri perbicaraan kes mahkamah, Anwar kembali ke kerajaan menerusi proses dan format yang berbeza. Beliau mewakili parti dan gabungan yang berbeza.

Perjalanan lebih dua dekad diceritakan menerusi pelbagai platform. Salah satunya ialah filem berjudul “Anwar, The Untold Story” yang sedang ditayangkan di seluruh negara. Pelbagai komen mengenai filem itu sedang kedengaran. Pasukan produksi pula mengatakan slot tayangan sedang disabotaj.

Saya belum berkesempatan untuk menonton karya itu. Mungkin dalam sehari dua lagi.

Pun begitu, daripada perbualan dan bicara segera mengenainya di media sosial, saya dapat memahami kandungan filem tersebut, yang menggambarkan mesej yang hendak disampaikan. Ada yang mengkritik. Ada yang menyambut baik. Sekali lagi ia menunjukkan pendirian seseorang itu, di perspektif mana mereka berada.

Dua minggu lalu parti komponen kerajaan perpaduan pimpinan Anwar berhimpun di Dewan Merdeka, satu lokasi yang merekodkan pelbagai ucapan sinis, kritis, lantang, amanat yang bernas, kata dua dan sebagainya. Senaraikan apa sahaja sifatnya ke arah lawan dan kawan politik Umno dan BN selama ini, kita sudah dengar dari Dewan Merdeka.

Kalau hendak didokumenkan mungkin ruang Dewan Merdeka tidak cukup. Mungkin setinggi Menara Dato’ Onn. Ia kembali bergema, tetapi dalam nada yang berbeza.

Dalam pertemuan dua minggu lalu, selain berhimpun ramai yang berucap mempertahankan kerajaan perpaduan. Alasan dan justifikasi diketengahkan bagi memastikan kekukuhan kerajaan perpaduan.

Siapa sangka lawan dan musuh parti komponen kerajaan perpaduan akan berjabat tangan dan bergandingan untuk mempertahankan perjuangan mereka semasa pada hari ini – di Dewan Merdeka. Sama sekali kita tidak sangka keadaan itu akan berlaku. Tetapi itulah hasil keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November lalu.

Kemudian Anwar dilantik sebagai PMX pada 24 November. Kerajaan perpaduan, sebuah kerajaan campuran begitu banyak parti, ditubuhkan atas titah nasihat Yang di-Pertuan Agong.

Perhimpunan beramai-ramai dan ucapan berapi menyegarkan saya mengenai satu himpunan perjuangan politik Pakatan Rakyat (PR) di Shah Alam sebelum PRU 2013. Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, mantan menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS duduk satu pentas bersama mendiang pengerusi DAP Karpal Singh.

Dalam ucapannya, Nik Aziz antara lain mengatakan siapa sangka “Karpal akan pakai logo PAS (pada jaket PR)?”

Beliau berharap cinta Karpal pada PAS akan berkekalan dan beliau akan menerima PAS.

Karpal merupakan antara pemimpin kanan DAP yang lantang dalam pendirian mengenai dasar hudud PAS. Kita masih ingat kenyataan popular mengenai isu hudud.

Pada 5 September, 2016 Dr Mahathir hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan bersalam dengan Anwar ketika perbicaraan sedang berlangsung. Ia mengejutkan banyak pihak dan menjadi titik-tolak kepada politik baharu Malaysia. Kedua-dua pemimpin itu bertemu serta bersalaman dan momen itu merupakan kali pertama sejak pemecatan Anwar pada 1998.

Perjalanan “lawan-kawan-lawan-kawan” itu tidak berkekalan lama. Hari ini kedua-dua mereka berada di kutub yang berbeza.

Selepas enam dekad landskap politik Malaysia berubah. Persaudaran pemimpin politik berubah. Dari lawan jadi kawan, kawan jadi lawan, dan kemudian lawan jadi lawan.

Saya percaya arus ikatan politik akan terus berubah.

Minggu ini Anwar genap enam bulan menerajui kerajaan perpaduan. Hari ini Dewan Rakyat kembali bersidang.

Banyak isu disaksikan sebagai enam bulan lalu. Salah satunya ialah cakap-cakap mengenai usaha mahu menggulingkan kerajaan pusat semasa. Dakwaan bahawa “kami ada nombor” terus kedengaran. Sampai bila? Teka-teki berterusan.

Jika benar ada nombor, ia perlu dan harus dibawa ke Parlimen untuk diuji dan diletakkan noktah.

Laporan 13 Mei lalu sekali lagi menggambarkan tidak ada kawan dan lawan yang kekal dalam politik. Mengikut laporan itu, dalam usaha membina semula negara dan mengelak daripada kegagalan, Anwar berharap hubungan silaturahim dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dapat dijalinkan semula. Hasrat itu dikatakan disampaikan semasa pertemuan Anwar bersama dua anak Nik Aziz.

Saya berhasrat untuk merakamkan perjalanan politik lawan dan kawan enam dekad politik Malaysia. Maklumat yang telah saya kumpul menunjukkan macam-macam telah berlaku. Ia amat menarik, dan wajar-wajah itu akan berterusan. Ada satu dua peristiwa penting akan berlaku dalam negara tidak lama lagi, sekali gus menambah halaman politik lawan dan kawan.

Ia wajar didokumenkan. Saya menanti penajaan untuk dokumentasi ini.

Satu lagi “untold story” politik Malaysia. – 22 Mei, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen