SEORANG pemimpin DAP Johor membangkitkan sikap hipokrit bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang mendakwa hairan kerana pemimpin Umno mempromosi parti berkenaan.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP Sheikh Umar Bagharib Ali melihat Muhyiddin bersikap demikian kerana presiden Bersatu itu sendiri pernah meraih sokongan untuk DAP.
“Meskipun (Muhyiddin) rasa agak luar biasa apabila ada pemimpin Umno menyeru ahli-ahlinya supaya menyokong DAP, ia sebenarnya bukanlah sesuatu yang ganjil bagi dirinya sendiri.
“Hal ini kerana, beliau sendiri pernah berkempen agar menyokong DAP,” kata Sheikh Umar dalam satu kenyataan.
Beliau merujuk satu ucapan Muhyiddin pada Januari 2018 sewaktu presiden Bersatu itu berkempen bagi gabungan Pakatan Harapan.
Katanya, Muhyiddin pada masa itu menggesa pengundi menyokong setiap calon dari DAP, Amanah dan PKR sepenuhnya.
“Pada ketika itu beliau begitu yakin. Setelah terbuang dari Umno, Bersatu dan Pakatan Harapan telah menjalin kerjasama. Hasilnya, Pakatan Harapan menang dalam PRU14,” katanya.
Tambahnya, sikap ditunjukkan Muhyiddin juga tidak akan menghalang kerjasama 19 parti termasuk parti dalam PH dan Umno pada masa ini dalam kerajaan perpaduan.
Muafakat itu bagi memenuhi titah Yang di-Pertuan Agong untuk mengukuhkan kerajaan bagi memastikan kestabilan politik dan pemulihan ekonomi negara, katanya lagi.
Sheik Umar mengulas kenyataan Muhyiddin semalam yang menyebut rasa hairan apabila pemimpin Umno Ahmad Maslan menyeru ahli parti menyokong calon DAP di kawasan masing-masing.
Muhyiddin yang juga bekas timbalan presiden Umno berkata seruan itu bercanggah dengan prinsip parti tersebut dan akan menyebabkan majoriti orang Melayu beralih dari menyokong parti tersebut. – 21 Mei, 2023.
Komen