PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin yakin dapat memperoleh sehingga 80% undi, terutamanya daripada pengundi Melayu pada pilihan raya negeri akan datang.
Presiden Bersatu itu berkata keyakinannya berdasarkan kajian yang dijalankan oleh gabungan PN mengenai populariti mereka.
Beliau berkata kajian itu menunjukkan Bersatu, Gerakan dan PAS mendahului dari segi populariti dan kepimpinan.
“Saya yakin, walaupun bukan 100%, tetapi 70 hingga 80% sokongan daripada rakyat khususnya orang Melayu adalah sangat baik.
“Berdasarkan kajian, kita boleh lihat persepsi setiap negeri seperti Selangor, rakyat nampaknya semakin maju,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Pagoh di Johor hari ini.
Muhyiddin juga percaya sokongan akan terus berkembang berdasarkan prestasi kerajaan semasa.
“Semua tindakan mereka (kerajaan) sedang dinilai oleh rakyat.
“Rakyat kecewa… mereka (kerajaan) banyak bercakap tetapi mereka tidak melakukan seperti apa yang mereka cakap,” katanya.
Mengenai sama ada benar khabar angin bekas ahli Umno akan menyertai PN, Muhyiddin berkata beliau tidak pasti.
“Saya selalunya tidak pasti jika ada di antara mereka (bekas pemimpin Umno) menyertai PAS, semuanya bergantung kepada apa sahaja keputusan rakan kita.
“Apa yang saya tahu mereka yang menyertai PAS atau Bersatu secara senyap-senyap… berasa seolah-olah mereka tidak mempunyai tempat dalam politik Umno lagi.
“Mungkin mereka mahu bergerak ke hadapan untuk masa depan politik negara ini dan mereka berasakan mereka boleh melakukannya bersama PN,” katanya.
Dilaporkan bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa mengesahkan beliau mengemukakan permohonan untuk menyertai PAS. – 20 Mei, 2023.
Komen