SUSULAN Konvensyen Perpaduan hujung minggu lepas, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional sudah menyatakan kesediaan mereka untuk bertanding pada pilihan raya akan datang, walaupun mengakui yang lebih banyak yang perlu dibuat bagi memberikan cabaran besar kepada Perikatan Nasional.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight yang kerjasama pemimpin parti yang terserlah pada konvensyen itu sudah menghantar mesej positif dan kini sudah tiba masanya untuk akar umbi memulakan geraknya.
Minggu lepas, Konvensyen Kerajaan Perpaduan diadakan buat kali pertama di World Trade Center (WTC).
Dengan tema “Madani Mewajahi Masa Depan Malaysia”, ia dihadari pelbagai pemimpin politik utama PH dan BN, termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan.
Ia menjadi acara bersejarah kerana buat pertama kali dalam sejarah negara, pelbagai pemimpin dan delagasi yang berbeza latar belakang dan ideologi politik memenuhi Dewan Merdeka, lokasi perhimpunan yang sangat sinonim dengan Umno.
Antara pemimpin politik utama negara yang hadir termasuklah Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak Abang Johari Open dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah Hajiji Noor.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Lokman Adam memberitahu The Malaysian Insight yang parti itu akan menterjemahkan pemahaman antara pemimpin tertinggi kepada pemimpin negeri, bahagian dan cawangan parti.

Katanya, usaha mungkin akan mengambil sedikit masa tetapi mustahak untuk melenyapkan perseteruan antara penyokong PH dan BN.
“Kerjasama antara pemimpin parti sangat baik dan sekarang kami mahu terjemahkan kepada pemimpin negeri, bahagian dan cawangan supaya pemahaman lebih baik boleh mencapai akar umbi.
“Bagaimanapun ini akan mengambil masa kerana kami mahu kerjasama ini diterima tanpa perasaan curiga sesama kita, tiada dendam dan kami tak mahu bercakap tentang kisah lama.
“Kami mahu semua orang, ahli parti, untuk mencari persamaan dan semua orang perlu memainkan peranan bagi mencapai matlamat ini. Hanya dengan pemahaman jelas kita boleh mencapai kejayaan.
“Mungkin untuk pilihan raya negeri ini, kita tidak akan dapat 100% (pemahaman) tetapi kita boleh jadi lebih kukuh nanti untuk PRU16,” kata Lokman.
Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar pula percaya yang konvensyen itu menamatkan pelbagai tuduhan Perikatan Nasional yang pentadbiran Anwar akan tumbang tidak lama lagi.
Katanya, konvensyen itu mengembalikan semula keyakinan dalam kalangan pengundi termasuk ahli akar umbi PH dan BN.
“Memasuki pilihan raya negeri ini, PN tidak akan mampu guna naratif sama yang digunakan mereka selama ini menuduh yang PH akan tumbang.
“Keyakinan sudah ada dan rakyat mampu menilai. Untuk akar umbi, kami akan bekerja ke arah itu. Hujung minggu ini, Kedah akan mengadakan Konvensyen Kerajaan Perpaduan mereka sendiri.
“Ini adalah satu lagi bukti yang kita sedang bekerja kea rah perpaduan antara parti dalam PH dan BN,” kata bekas wakil rakyat Pokok Sena itu lagi. – 21 Mei, 2023.
Berita penuh di sini.
.
Komen