Guna saluran betul untuk beli tiket konsert, kata kementerian


Kumpulan lima ahli yang diketuai oleh vokalis dan pemain piano Chris Martin akan mengadakan konsert mereka di Malaysia pada November akan datang. – Gambar Facebook, 20 Mei, 2023.

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menggesa penonton konsert menggunakan saluran yang betul dan tidak menggunakan ‘scalper’ atau pembeli tiket hantu semasa membeli tiket.

Ini berlaku di tengah-tengah laporan tiket konsert Coldplay dijual dalam talian pada harga terlalu tinggi.

“Mengenai penjualan semula tiket Coldplay, kami ingin menasihatkan pengguna untuk membuat pembelian pintar dengan mendapatkan tiket daripada saluran jualan rasmi dan sah,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian juga berkata sebagai pelanggan mereka mempunyai hak untuk memilih tiket dengan harga yang berpatutan.

“Bagaimanapun sekiranya pembeli merasakan terdapat unsur penipuan dalam pembelian tiket mereka harus membuat aduan rasmi kepada kementerian dengan mengemukakan bukti berkaitan.

“Ini bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah mana-mana Akta yang dikuatkuasakan oleh kementerian atau agensi lain.”

Sementara itu Kementerian Komunikasi dan Digital akan memanggil penganjur konsert Coldplay yang akan berlangsung pada November untuk memahami sistem dan prosedur tiket mereka.

Menteri Fahmi Fadzil berkata ini susulan rungutan orang ramai yang mengalami kesukaran membeli tiket kerana “scalper” membeli secara pukal.

Beliau berkata mesyuarat itu juga akan membincangkan langkah-langkah yang boleh diambil penganjur bagi memastikan masalah sama tidak berulang pada masa hadapan.

“Antara perkara yang mungkin kita teliti ialah cara pembelian tiket sama ada perlu ada sekatan atau syarat tertentu dikenakan ke atas penganjur.

“Kita juga sedang melihat peruntukan undang-undang sedia ada sekiranya kita perlu mengambil tindakan,” katanya kepada pemberita sebelum mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Abang Johari Openg di Kuching semalam. 

Fahmi juga memberitahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk mengambil tindakan terhadap iklan media sosial yang digunakan untuk menjual tiket konsert Coldplay pada harga tinggi.

Peminat kumpulan rock Britain itu kecewa apabila tidak dapat membeli tiket konsert itu yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur pada 22 November apabila jualan bermula semalam.

Harga tiket untuk konsert Coldplay yang pertama di Malaysia adalah antara RM228 hingga RM3,088.

Coldplay akan mengadakan satu siri pertunjukan di Asia pada November sebagai sebahagian daripada jelajah dunia “Music of the Spheres” mereka yang bakal memecahkan rekod.

Kumpulan lima ahli yang diketuai oleh vokalis dan pemain piano Chris Martin menerima anugerah termasuk Favourite Touring Artist di American Music Awards 2022 dan Tour of the Year di iHeartRadio Awards 2023. – 20 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen