MAHKAMAH Tinggi Shah Alam menetapkan 17 Ogos bagi sebutan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Ampang yang membebaskan Jamal Md Yunos daripada pertuduhan memuat naik video kenyataan jelik di laman Facebooknya, tiga tahun lalu.
Hakim Aslam Zainuddin menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Zuraini Abdul Razak dan peguam Mohd Imran Tamrin yang mewakili Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu memaklumkan mereka belum menerima rekod rayuan.
Terdahulu, Zuraini memberitahu mahkamah rayuan itu masih di peringkat sebutan dan rekod rayuan belum diterima pihaknya.
“Ia antaranya membabitkan nota keterangan dan alasan kehakiman mengenai keputusan kes itu daripada mahkamah rendah (Mahkamah Sesyen Ampang),” katanya.
Pada 10 Ogos tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Ampang Wan Mohd Norisham Wan Yaakob membebaskan Jamal daripada dua pertuduhan dengan sengaja memuat naik video kenyataan jelik dalam laman Facebooknya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Pertuduhan itu mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta yang sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – Bernama, 18 Mei, 2023.
Komen