HARGA barangan kini sudah stabil dan rakyat Malaysia sepatutnya sudah boleh menyesuaikan diri dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 6% selepas dua tahun ia dilaksanakan, kata Perdana Menteri Najib Razak.
“Kita tak boleh benarkan pasaran bebas menentukan harga, atas sebab itulah kerajaan perlu melibatkan diri dan bantu pengguna. Tanggapan bahawa kos barang naik disebabkan oleh GST adalah tidak benar.
“Pengguna sepatutnya sudah dapat menyesuaikan diri dengan 6% GST selepas dua tahun dilaksanakan,” kata Najib ketika melancarkan Karnival Jualan Sentuhan Rakyat di Kota Kinabalu hari ini.
Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri Hamzah Zainuddin, Ketua Menteri Sabah Musa Aman dan anggota-anggota Kabinet Negeri Sabah.
Pakatan Harapan (PH) telah berikrar akan menghapuskan GST sekiranya berjaya membentuk kerajaan baharu.
Tambah Najib lagi, daripada 167 negara yang melaksanakan GST, hanya Malaysia yang mengecualikan 578 item dari cukai tersebut.
Hasil dari kutipan GST akan dikembalikan kepada rakyat negara ini melalui pelaksanaan bantuan tunai BR1M serta memastikan Malaysia terus berkembang, kata Pegerusi Barisan Nasional itu.
“Pada tahun ini, sekitar RM6.8 bilion telah diperuntukkan untuk pemberian bantuan tunai dan hampir RM600 juta untuk BR1M di Sabah, berbanding RM564 juta sebelum ini.
“Dan sekiranya kerajaan tak laksanakan GST, ekonomi Malaysia tak dapat berkembang dan jika ekonomi lemah, kerajaan tak akan dapat bantu rakyat,” kata Najib.
Jelasnya lagi, GST juga akan membolehkan kerajaan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta melancarkan projek-projek seperti projek Lebuh Raya Pan Borneo yang tidak akan dikenakan tol. – 21 Mac, 2018.
Komen