Kerajaan sia-siakan peluang mahkamah semak isu kalimah Allah


LUJNAH Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Pusat mengamati dengan mendalam perkembangan terbaru berkenaan kes kalimah “Allah”, (Jill Ireland binti Lawrence Bill lwn menteri bagi Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia) dan mendapati, berdasarkan kepada rekod-rekod awam seperti berikut:-

1. Mahkamah Tinggi pada 10 Mac 2021, telah memutuskan bahawa arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada tahun 1986 untuk melarang penggunaan empat kalimah termasuk Allah, Baitullah, Kaabah dan Solat dalam penerbitan agama Kristian adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah di sisi undang.

2. Tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut, KDN dan kerajaan Malaysia melalui peguam negara telah memfailkan Notis Rayuan pada 12 Mac 2021 untuk merayu ke Mahkamah Rayuan.

3. Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) telah diberikan hak oleh Mahkamah Rayuan untuk menjadi sahabat mahkamah (amicus curae) dalam penghujahan yang akan diadakan di Mahkamah Rayuan. 

4. Mahkamah Rayuan telah menetapkan rayuan tersebut untuk pengurusan kes pada 19 Mei 2023.

5. Tanpa apa-apa hebahan kepada umum, menteri dalam negeri telah membuat keputusan untuk menarik semula rayuan tersebut, dan melalui satu nota kepada Jemaah Menteri, KDN telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri tentang keputusan tersebut.

6. Menteri dalam egeri dan kerajaan Malaysia selaku perayu melalui peguam negara telah memfailkan Notis Pemberhentian pada 18 April 2023 bagi menyatakan niat untuk tidak meneruskan rayuan dan memberhentikan keseluruhan rayuan.

Berdasarkan kepada kronologi fakta-fakta yang jelas diatas, LUHAM melahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap keputusan Kerajaan Madani untuk menarik balik rayuan tersebut atas faktor-faktor berikut:-

1. Rayuan tersebut adalah penting untuk membolehkan Mahkamah Rayuan iaitu mahkamah atasan untuk menyemak dan menilai semula keputusan Mahkamah Tinggi dan alasan-alasan yang diberikan. 

Notis Rayuan yang difailkan dua hari selepas keputusan Mahkamah Tinggi tersebut menunjukkan betapa seriusnya menteri dalam negeri dan kerajaan Persekutuan (Perikatan Nasional) sebelum ini, untuk berhujah semula bagi mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi.

2. Keputusan Mahkamah Tinggi tersebut telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan penganut agama Islam, dan adalah penting untuk mahkamah atasan menilai semula keputusan tersebut untuk melihat rasional dan kemunasabahan keputusan KDN yang dibuat pada tahun 1986.

3. Keputusan mahkamah atasan adalah penting untuk menjadi pedoman yang mengikat mahkamah-mahkamah bawahan, dan merupakan “binding precedent” berbanding keputusan Mahkamah Tinggi.

Oleh yang demikian, LUHAM menuntut kerajaan Madani khususnya menteri dalam negeri dan peguam negara untuk menjawab dan memberi penjelasan terhadap persoalan-persoalan berikut:-

1. Sama ada keputusan menarik balik rayuan tersebut melalui Nota Kabinet telah diperhalusi oleh anggota-anggota Kabinet, dan sama ada terdapat apa-apa bantahan daripada mana-mana ahli Kabinet kerajaan Madani?

2. Sama ada KDN telah membuat konsultasi dan/atau libat urus dengan MAIS, MAIWP dan MAIK yang merupakan sahabat mahkamah (amicus curae) sebelum membuat keputusan?

3. Sama ada KDN telah membuat konsultasi dan/atau libaturus dengan semua pemegang taruh termasuk institusi diraja yang merupakan ketua agama Islam dalam isu yang berkait agama Islam ini?

4. Sama ada KDN telah membuat keputusan menarik balik rayuan tersebut atas desakan atau tekanan pihak-pihak tertentu?

5. Kenapa KDN memfailkan Notis Pemberhentian untuk menarik balik rayuan tersebut tanpa apa-apa hebahan dibuat kepada masyarakat umum, yang mempunyai hak untuk mendapat maklumat tentang isu-isu terkait amalan agama Islam dan juga “peaceful co-existence” di negara ini?

LUHAM juga menzahirkan rasa terkilan yang mendalam lantaran daripada tindakan kerajaan Madani yang jelas kelihatan sangat lemah dan gagal mempertahankan aspirasi masyarakat Islam di negara ini, bahkan sanggup mensesiakan peluang untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Tinggi tersebut di mahkamah atasan, justeru memperlihatkan bahawa sensitiviti masyarakat Islam di negara ini tentang isu tersebut tidak penting bagi kerajaan Madani. – 16 Mei 2023. 

* Wan Rohimi Wan Daud, pengerusi LUHAM PAS Pusat.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen