Proklamasi Orang Melayu: Surat terbuka buat Dr Mahathir Mohamad


SAYA, sebagai rakyat Malaysia, ingin membalas pandangan Tun dalam proklamasi yang diinisiatifkan oleh Tun.

Memang Tun berhak bersuara dan mengutarakan keluhan akan mana-mana isu, tapi Tun juga harus mendengar suara rakyat yang tidak sehaluan dengan pandangan Tun.

Bagi setiap hujahan dalam proklamasi tersebut, disusuli pendapat saya. Terpulanglah kepada Tun untuk menatap atau tidak secara kritis.

1. Orang Melayu tidak pernah menguasai ekonomi negara ini. Gerai-gerai kecil mereka pun sudah diambil orang.

Ekonomi sesebuah negara adalah tanggungjawab seluruh rakyatnya dan tidak terletak pada bahu seseorang individu atau kelompok tertentu. Dalam sistem demokrasi, setiap rakyat diberi kebebasan untuk mengambil bahagian dalam sektor ekonomi dan tidak ada keperluan mana-mana pihak untuk menguasai ekonomi sebuah negara. Ekonomi harus dikuasai oleh seluruh rakyat bersama untuk kemakmuran dan pembangunan negara.

2. Mutakhir, satu-satunya kuasa yang ada iaitu politik juga terlucut dari tangan mereka.

Kuasa politik mengikut Perlembagaan Malaysia sejak merdeka amat jelas, iaitu ia terletak pada suara majoriti dalam Parlimen. Dan kuasa politik ini adalah juga ditentukan oleh rakyat Malaysia yang berhak mengundi sesiapa sahaja yang layak mewakili rakyatnya.

Tidak timbul isu kelucutan kuasa politik kerana kerajaan yang didirikan berlandaskan undang-undang yang sedia terperinci dalam Perlembagaan Malaysia. Malah kuasa politik masih kekal dalam tangan kaum majoriti negara ini kerana bilangan populasi bukan Melayu jauh lebih rendah berbanding orang Melayu.

Jadi tidak ada isu dalam hal kehilangan kuasa politik yang diutarakan.

3. Nasib orang Melayu kini dan akan datang tidak lagi dapat ditentukan oleh mereka.

Kemakmuran dan nasib setiap individu terletak di tangan sendiri dan akan sentiasa terbela sekiranya setiap insan sebuah negara berganjak ke hadapan secara harmoni. Tiada kaum akan keciciran asalkan pemikiran majoriti adalah sehaluan dalam membangunkan umatnya dan tidak terpesong dengan alasan-alasan yang menakut-nakutkan masyarakat.

Apabila negara maju sebagai seunit entiti, sudah pasti nasib rakyatnya, tidak kira kaum, akan turut bertambah baik.

4. Puncanya kerana kecuaian pemimpin Melayu sendiri.

Bukan sahaja pemimpin Melayu yang cuai. Ramai pemimpin bukan Melayu juga amat ‘cuai’ setelah diberi mandat untuk menerajui kerajaan. Ramai dalam kalangan masyarakat Malaysia yang ‘tercicir’ dari arus pembangunan kerana sifat tamak segolongan pemimpin, yang hanya mementingkan diri sendiri.

Malah boleh dikatakan kegagalan sesuatu masyarakat bukanlah kerana cuai tapi lebih kerana ingin mengayakan diri sendiri dan sanak-saudara sahaja.

Pemimpin bukan Melayu turut terlibat dalam “kecuaian” ini dan tidak hanya kaum Melayu. “Kecuaian” ini sebenarnya merugikan seluruh negara kerana kepimpinan tertinggi turut ‘cuai’ dan gagal mengawal pemimpin bawahan yang sekian lama bermaharajalela.

5. Parti Melayu atas nama agama, bangsa dan negara sudah diseleweng menjadi parti untuk memewahkan diri.

Rasuah dan kerakusan segelintir pihak atau individu yang bertanggungjawab menjahanamkan sesuatu negara dan rakyatnya, tidak kira parti itu adalah parti Melayu, India, Cina atau parti campuran.

Yang selewengkan parti adalah sistem yang tidak telus dan dipimpin oleh yang korup dan tidak bermaruah. Intipati rasuah adalah wang yang menjadi pendorong utama sesuatu parti kelihatan diseleweng.

6. Rebutan jawatan dan wang telah menjahanamkan perpaduan bangsa Melayu.

Rebutan jawatan dan wang pada hakikatnya tidak mampu menjahanamkan perpaduan mana-mana kaum kerana yang merebut hanyalah orang atasan yang berkuasa. Perpaduan kaum terletak pada yang majoriti, dan golongan ini memang pun tidak ada peluang untuk merebut jawatan dan wang.

Tidak tepat jika dispekulasi bahawa perpaduan dan kekuatan sesuatu kaum berkisarkan wang dan jawatan. Tidak ada sebarang bukti sehingga kini yang menunjukkan bahawa perpaduan mana-mana kaum di Malaysia terganggu kerana jawatan dan wang.

Yang menggugat perpaduan adalah permainan isu-isu perkauman yang harus dikuburkan dahulu.

7. Lemahnya Melayu sehingga kedaulatan tanah air ini pun bakal terlepas dari tangan mereka.

Kelemahan dari segi apa? Tidak ada unsur yang mengancam kedaulatan tanah air dan undang-undang negara ini. Negara ini diperintah berlandaskan Rukun Negara, atas prinsip-prinsip yang diakui oleh semua masyarakat. 

Negara tidak terancam dari kuasa dalaman dan luaran. Yang lemah masih diberi bantuan yang sewajarnya.

Kedaulatan tanah air terletak di tangan setiap warganegara dan bukan segelintir masyarakat. Hilangnya kedaulatan tanah air akan merugikan seluruh rakyat Malaysia dan bukan terhad kepada mana-mana kaum tertentu.

8. Masa depan Melayu kini amat gelap. Kemiskinan memaksa orang Melayu menjual tanah-tanah mereka.

Sebenarnya masa depan orang Melayu semakin cerah. Dengan pencapaian dalam bidang sains dan teknologi, dan kemudahan sedia ada, semua kaum berpeluang mencapai kejayaan. Tidak ada kuasa yang boleh menghalang kaum Melayu untuk mengambil bahagian dalam agenda ekonomi negara. Pelbagai program dan insentif disediakan untuk yang rajin berusaha.

Mengenai isi tanah-tanah Melayu, semua sedia maklum bahawa bukan perkara mudah untuk menjual tanah sewenang-wenangnya. Proses menjual tanah secara sah adalah rumit. Lagipun tiada sebarang bukti kukuh yang menunjuk bahawa orang Melayu menjual tanah kerana kemiskinan.

Jika ada pun, siapa yang beli dan sebanyak mana?

9. Pemulihan bangsa Melayu hanya akan berjaya jika mereka kembali bersatu.

Sesuatu yang tidak pernah terancam tidak perlu pemulihan! Malah perpaduan kaum Melayu di Malaysia amat disegani oleh negara asing. Mereka tidak pernah berkecai dalam sejarah Malaysia sejak merdeka.

Perbezaan politik dan pendapat tidak bermakna Melayu tidak bersatu. Perbezaan pendapat harus dirai oleh semua kaum, baharulah minda dan kefahaman sesuatu masyarakat akan diperkaya.

10. Menyelamatkan bangsa itu adalah kewajipan dan bukannya perkauman. Namun, ia akan menjadi perkauman jika bangsa itu dibiarkan tidak lagi relevan.

Setiap bangsa mempunyai identitinya sendiri. Tidak ada bangsa atau kaum terancam sekiranya masyarakat secara holistik mendakap prinsip-prinsip kenegaraan yang sedia ada. Isu perkauman hanyalah satu ilusi yang diperdagangkan oleh segelintir ahli politik yang tidak berwawasan dan hanya mementingkan diri sendiri.

Sesuatu negara hanya boleh maju dan bergerak ke hadapan apabila masyarakat akur bahawa kepentingan negara mendahului agenda politik perkauman. Isu perkauman tidak relevan sekiranya pemimpin senada menabur unsur-unsur positif dalam masyarakat majmuk dan bukan asyik memperlekehkan perpaduan yang sememangnya sudah wujud.

11. Justeru, kita menyeru supaya diketepikan kepentingan parti dan diri sendiri.

Seharusnya seluruh rakyat Malaysia wajib mengenepikan kepentingan parti dan diri sendiri, bukan sahaja bangsa yang tertentu. Negara memerlukan jaguh yang berani bersuara untuk semua rakyat Malaysia dan bukan segelintir masyarakat sahaja.

Rakyat akan lebih cenderung mengalu-alukan jaguh negara berbanding dengan jaguh kampung.

12. Bertautlah semula, demi agama, bangsa dan negara.

Demi agama, bangsa dan negara – marilah kita bersama-sama mencipta satu masyarakat Malaysia yang progresif, dan menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi, kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak, sepertimana diperhalusi dalam Rukun Negara.

Tun, jadikanlah prinsip-prinsip Rukun Negara sebagai pedoman untuk memimpin seluruh rakyat Malaysia ke arah jalan yang akan menguntungkan seluruh warganya. Rakyat lebih memerlukan Proklamasi Orang Malaysia.

 

* Narinder Pal Singh, pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen