BN mungkin tak tanding 22 kerusi, kata Pemuda Umno Selangor


Mohd Farhan Darwis

Kata Imran, sasaran awal 22 kerusi yang ingin ditandingi Umno itu mewakili setiap 22 bahagian pergerakan parti itu di negeri tersebut. – Gambar The Malaysian Insight, 16 Mei, 2023.

SASARAN awal untuk bertanding di 22 kerusi mungkin tidak dicapai bagi pertimbangan untuk memastikan kemenangan bersama Pakatan Harapan (PH), kata pemimpin Umno Selangor.

Ketua Pemuda Umno Selangor Mohd Imran Tamrin berkata jawatankuasa perundingan mempertimbangkan sesuatu kerusi perlu dapat disokong oleh PH dan juga Barisan Nasional (BN).

“Kita nak tentukan kerusi kalau BN tanding BN boleh menang dengan sokongan PH, begitu juga kerusi PH bertanding boleh menang dengan sokongan BN.

“Ini adalah perkara akan diperhalusi dan dimuktamadkan akan diputuskan jawatankuasa perundingan,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam satu wawancara.

Jelasnya, sasaran awal 22 kerusi yang ingin ditandingi Umno itu mewakili setiap 22 bahagian pergerakan parti itu di negeri tersebut.

Sasaran 22 kerusi itu didedahkan Mohd Imran pada awal bulan ini sewaktu rundingan dilaporkan mula memperhalusi 80% daripada keseluruhan 56 kerusi DUN Selangor.

Selain 22 kerusi tersebut, Mohd Imran mendedahkan Umno juga mahu mengekalkan lima kerusi dikuasai pada waktu ini dan juga kerusi diwakili penyandang yang berpaling tadah.

Lima kerusi tersebut terdiri dari Batang Kali, Jeram, Selat Klang, Dengkil, Gombak Setia dan Bukit Antarabangsa.

Peguam berusia 37 tahun itu mengakui rundingan kerusi kali ini hangat kerana inilah kali pertama kedua-dua gabungan PH dan BN itu tidak bertanding di kesemua 56 kerusi DUN.

PRN akan datang juga menjadi medan sulung yang menyaksikan kedua-dua parti tidak bertembung dalam pilihan raya.

“Sudah pasti di meja rundingan akan ada pertindihan kerusi yang BN dan PH berhasrat tanding. Ini akan diputuskan peringkat tertinggi nanti,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Imran menjelaskan realiti semasa yang memerlukan PH dan BN membuktikan kekuatan kerajaan perpaduan tanpa mengira bilangan kerusi yang bakal ditandingi.

“Dari segi strategi politik sudah pasti ada perkara dan pertimbangan lain yang akan dibuat pucuk pimpinan dan jawatankuasa perundingan kerusi dalam menentukan kerusi ditandingi BN dan PH.

“Jadi beberapa banyak pun yang Umno atau BN dapat kerusi, kerusi itu mesti dimenangkan bersama.

“Seberapa banyak PH boleh dapat kerusi bertanding, kerusi itu juga yang kita perlu bekerja bersama-sama untuk menangkan bersama-sama. Kerana ini lebih penting,” katanya.

PH kini menguasai 41 kerusi manakala BN mempunyai lima kerusi daripada 56 keseluruhan DUN Selangor.

Sebanyak 10 kerusi lagi dimiliki pembangkang dari PN (enam kerusi Bersatu, satu kerusi PAS), dan tiga lagi milik Pejuang.

Salah satu kerusi Pejuang iaitu Batang Kali bagaimanapun dilucut kerana wakilnya gagal hadir sidang DUN lebih enam bulan.

Mengulas lanjut, Mohd Imran berkata mereka perlu menggunakan kaedah kempen baharu yang sesuai dengan kehendak pengundi semasa, termasuk kumpulan anak muda berusia 18 tahun.

“Selain politik khidmat bakti kita kena lihat tuntutan baharu, mereka ini ramai profesional, pendidikan baik, ada kefahaman jelas berkenaan dasar dan polisi.

“Mereka perlu bukan sahaja dekat kepimpinan muda tapi mesti ditonjolkan pemimpin yang boleh bercakap tentang dasar, polisi, tatakelola yang baik dan kecekapan mentadbir negara.”

Mohd Imran juga menegaskan, pimpinan politik muda hari ini perlu kembali kepada lumrah parti politik iaitu membawa idea dan pemikiran untuk pembentukan dasar yang lebih baik.

“Kita bukan sahaja tertumpu politik khidmat bakti tapi kompetensi, ketelusan sebagai pemimpin apabila diberi tanggungjawab sebagai wakil rakyat, ahli majlis, hatta ketua kampung,” katanya.

Beliau percaya orang muda lebih prihatin terhadap idea, dasar lebih baik, dan kritikal terhadap inisiatif kerajaan. – 16 Mei, 2023.


Bermula July 2018, akses bagi laporan penuh hanya untuk anda yang melanggan. Daftar sekarang dan nikmati satu (1) minggu akses percuma!

Langgan sekarang!


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen